Jumaat, 29 November 2013

Kalau ada rizab RM2.7b, apa salahnya naik gaji

SHAHBUDIN HUSIN


Isu kenaikan gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri Selangor kini hangat diperkatakan. Ramai yang menyifatkan kenaikan yang diusulkan oleh MB Selangor, Khalid Ibrahim dan diluluskan oleh Dun Selangor itu terlalu tinggi terutama bagi jawatan Speaker dan Timbalan Speaker yang hanya bertugas mempengerusikan sidang Dewan Undangan Negeri beberapa kali saja dalam setahun.

Struktur gaji baru itu ialah Menteri Besar daripada RM14,175 kepada RM29,250, anggota Exco daripada RM6,109 kepada RM20,250, Speaker daripada RM6,109 kepada RM22,500, Timbalan Speaker daripada RM3,327 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Selain Anwar Ibrahim selaku Penasihat Kerajaan Negeri Selangor yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi manakala Azmin Ali selaku Pengerusi PKR Selangor turut membantah dan meminta ia ditangguhkan, beberapa pihak lain turut juga membantah.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali menyindir bahawa kenaikan dengan mengatakan, gaji sebanyak itu, orang pekak, orang bisu dan golongan orang kelainan upaya (OKU) pun mampu menjadi wakil rakyat di negeri Selangor.

Beberapa pihak lain seperti pemimpin Umno, NGO pro Umno, Cuepacs dan lain-lain turut membantah kenaikan itu dan rata-rata menyatakan kerajaan negeri Selangor sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya diri sendiri.

Bekas MB Selangor, Abu Hassan Omar juga turut mengulas dengan menyatakan kenaikan itu tidak rasional dan tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Bahkan, katanya, ketika beliau menjadi Menteri Besar, kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan Selangor dan Adun tidak pernah dibincangkan kerana kerajaan pimpinannya ketika itu sentiasa memikirkan kebajikan rakyat. Ewah, ewah...begitu menyentuh kalbu kenyataan bekas MB Selangor ini yang kariernya berakhir kerana dinasihatkan berundur berikutan terdedahnya suatu skandal berkaitan dirinya.

Adun-Adun BN di Selangor pula bersikap double-standard di mana mereka hanya mempertikaikan peratusan kenaikan gaji MB, Exco, Speaker dan Timbakan Speaker tetapi mengalu-alukan kenaikan gaji bagi Adun dengan alasan beban tugas wakil wakil tidak kenal cuti dan tiada istirehat di hujung minggu. Walaupun membantah tetapi bersetuju untuk kepentingan sendiri.

MB Selangor, Khalid Ibrahim bagaimanapun mempertahankan kenaikan itu dan bertegas ia tetap akan dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan. Katanya, kenaikan itu bukan saja mengambil kira beban tugas wakil wakil rakyat dan anggota pentadbirann kerajaan yang kian bertambah tetapi juga kerana dipersetujui oleh semua Adun dan BN dan PR sebelum ini.

Sambil mempertahankan kewajaran kenaikan itu, beliau juga berkata, ia dilaksanakan dengan menjadikan kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri Sarawak pada Mei lalu sebagai rujukan dan perbandingan.

Kenaikan gaji yang diluluskan di Sarawak ialah Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000, Timbalan Ketua Menteri daripada RM11,500 kepada RM35,000, menteri kanan dan Speaker daripada RM9,000 kepada RM30,000, menteri daripada RM9,000 kepada RM27,000, pembantu menteri dan Timbalan Speaker daripada RM7,000 kepada RM21,000 dan Adun daripada RM4,500 kepada RM15,000.

Mukhriz Mahathir pula baru-baru turut menaikkan elaun Adun Negeri Kedah sebanyak RM1,300.

Secara logik dan idealnya, kenaikan gaji di Selangor ini tidak ada salah dan cacat-celanya, bahkan bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab mereka. MB, Exco dan Adun bukan saja bekerja selama antara 16 hingga 18 jam setiap hari, bahkan meteka juga banyak memberi sumbangan dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Orang sakit, isteri bersalin, bayar bil letrik, anak mahu sekolah, anak kahwin dan pelbagai lagi, semuanya selalu diadukan kepada wakil rakyat untuk meminta bantuan.

Semua sumbangan dan bantuan itu adalah menggunakan wang poket sendiri. Dengan adanya kenaikan itu, ia pasti meringankan sedikit bebanan mereka.

Kenaikan itu sebenarnya bukanlah untuk kepentingan peribadi, keluarga dan anak isteri untuk membeli-belah dan membeli beg tangan yang mahal-mahal tetapi akan menjadikan mereka lebih selesa menabur khidmat bakti kepada rakyat.

Lagi pula, Kerajaan Negeri Selangor telah membuktikan kecekapan, kebersihan dan kurangnya ketirisan dalam pentadbiran sehingga mempunyai simpanannya kini mencecah sebanyak lebih RM2.7 billion. Ini merupakan suatu sejarah bagi Selangor dan tidak pernah dicapai oleh mana-mana era kepimpinan MB sebelum ini.

Memang betul ketika zaman Abu Hassan, beliau tidak pernah membincangkan soal kenaikan gaji tetapi tanyalah juga beliau, berapakah rizab kerajaan negeri ketika beliau menjadi MB Selangor?

Dengan rizab yang tinggi sekarang ini dan pentadbiran yang cekap yang telah terbukti, apalah salahnya kenaikan gaji itu. Tetapi kenaikan gaji selalunya akan diiiringi dengan peningkatan prestasi dan khidmat bakti. Anggota pentadbiran dan wakil rakyat Selangor juga pasti tidak banyak mengeluh lagi dengan adanya kenaikan ini. Inilah sebenarnya falsafah kenaikan itu.

Bagi Speaker dan Timbalan Speaker, walaupun kenaikannya agak tinggi berbanding gaji sebelum ini tetapi ia sebenarnya sesuai dengan status dan kedudukan mereka dalam sistem pentadbiran kerajaan. Dengan kedudukan gaji yang lebih baik, rakyat juga akan lebih menghormati kedudukan mereka.

Selain itu, kenaikan gaji ini juga mengurangkan berlakunya amalan rasuah dan tidak amanah dalam menjalankan tugas di kalangan anggota pentadbiran kerajaan. Lihatlah kedudukan MB, Exco dan wakil rakyat Selangor ketika era BN, walaupun gaji mereka tidak tinggi tetapi hampir kesemuanya diketahui mempunyai kehidupan yang mewah, rumah besar, kereta besar yang jika diukur secara logik, langsung tidak sepadan dengan gaji dan pendapatan mereka.

Di Singapura memang diketahui, Perdana Menteri dan menteri-menterinya mempunyai gaji yang paling tinggi dalam dunia tetapi lihatlah kecekapan dan kegigihan mereka dalam membangunkan negara itu. Bahkan kejadian rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaannya hampir tidak pernah kedengaran.

Dalam kes Selangor ini, sewajarnya Khalid Ibrahim mempertahankan kenaikan itu. Tetapi apa yang perlu beliau lakukan selepas ini ialah mempastikan perbelanjaan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat turut dipertingkatkan. Berilah kemudahan dan keselesaan yang sewajarnya kepada rakyat negeri Selangor.

Buktikanlah kepada rakyat kenaikan gaji ini benar-benar berbaloi dengan perkhidmatan yang bakal diberikan. Di samping memastikan rizab atau tabungan kerajaan negeri terus kukuh, seimbangkanlah dengan kemudahan dan faedah untuk rakyat. Program kebajikan, perumahan, bantuan untuk golongan berpendapatan rendah harus sentiasa dipertingkatkan.

Jika ini dapat dilakukan, kewajaran mengapa kenaikan gaji dilakukan akan dapat difahami akhirnya. Mungkin sekarang banyak yang membantah tetapi masa akan menjawabnya nanti. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: