Khamis, 28 November 2013

Cukai pintu Kuala Lumpur tetap naik 1 Januari, kata Ku Nan

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK dan DIYANA IBRAHIM


Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) mendengar penerangan ringkas mengenai jambatan Segambut - Mont Kiara. Gambar The Malaysian Insider oleh Hasbullah Awang Chik, 28 November, 2013.Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) mendengar penerangan ringkas mengenai jambatan Segambut - Mont Kiara. Gambar The Malaysian Insider oleh Hasbullah Awang Chik,



























Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari membetulkan kenyataan timbalannya, Datuk J Loga Balan Mohan bahawa tarikh akhir bantahan kenaikan cukai pintu tetap pada 17 Disember ini dan kenaikan akan bermula Januari 2014.

Beliau berkata, meskipun kenaikan bermula tahun hadapan namun pemilik hartanah dibenarkan menangguhkan pembayaran sehingga satu keputusan muktamad dicapai di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan warga kota.

“Kita boleh tangguh. Tapi bila kadar itu naik, tetap dinaikkan. Apa yang kami tangguhkan adalah pelaksanaan kerana 17 Disember semua bantahan akan diperoleh dan DBKL akan mendengar bantahan itu sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Bulan 12 mula dengar. Mungkin cukai baru dikenakan dalam Januari. Kami kena ikut akta. Kami tidak buat apa-apa 21 tahun lalu.

“Apa yang saya lakukan adalah membetulkan nilai sebenar untuk rakyat dan berlaku adil kepada DBKL,” katanya selepas merasmikan jambatan yang menghubungkan Segambut dan Mont Kiara hari ini.
Tengku Adnan turut menjawab teka-teki berhubung kaedah DBKL menjalankan tinjauan bagi membuat taksiran cukai pintu setelah dikecam oleh pembangkang dan warga kota.

Katanya, tujuh pendekatan digunakan bagi membuat tinjauan untuk mentaksirkan cukai baru dan cukai tidak dinaikkan tetapi kadar sewa semasa yang dinilai semula.

“Cara penilaian ialah pegawai ke lapangan, menggunakan ejen hartanah, melihat iklan, transaksi lalu, nasihat LHDN, carian internet dan kajian melalui telefon. Ia dijalankan sejak beberapa bulan lalu.
“Kita tidak buat penilaian. Kita berdasarkan kadar sewaan. Kalau berdasarkan penilaian lebih teruk.

Sebagai contoh jika rumah teres di Jalan Telawi, ketika membeli rumah itu RM75,000 30 tahun lalu, tetapi sekarang harganya tiga juta. Kalau berdasarkan tiga juta lagi teruk,” katanya.

Ahad lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata DBKL akan mengeluarkan saman kepada warga kota yang enggan melunaskan cukai pintu mereka pada kadar baru iaitu sebanyak 6% bermula tahun hadapan.

Katanya, kajian DBKL untuk menaikkan cukai pintu mengundang kemarahan warga kota apabila mereka tidak dimaklumkan bahawa DBKL ada perancangan menaikkan kadar cukai pintu.

Berhubung banyak salah faham yang berlaku berhubung kenaikan sebenar cukai pintu, ahli parlimen Putrajaya itu memberikan contoh berikut.

“Katakanlah dahulu sewa RM500 sebulan untuk tempoh setahun iaitu bersamaan RM6,000. Kita kenakan cukai 6% daripada RM6,000. Tetapi sekarang sewa itu meningkat RM600 menjadi RM1,000.

“RM1,000 itu dikali dengan 12 bulan adalah RM12,000 maka cukai baru adalah 6% daripada RM12,000. Kadarnya masih sama,” katanya.

Ketika ditanya kebarangkalian kadar 6% itu dikurangkan, beliau berkata: “Peratusan itu belum diputuskan, terpulang kepada saya sama ada mengenakan 6% atau 3%. Saya kena seimbang keperluan rakyat dan berlaku adil kepada perbelanjaan DBKL juga.”

Mengulas berhubung hasrat warga kota mahu menyaman DBKL berhubung perbezaan kadar taksiran yang diterima mereka, beliau berkata: “570,800 notis dihantar. Kita juga manusia yang lakukan kesalahan. Beritahu kami jika salah, kami akan betulkannya. Nak saman kita buat apa?

“Sesetengah rumah membuat pengubahsuaian. Mereka ada kemudahan dan sewa yang lebih baik. Kita tahu. Sebab itulah kadar berbeza. Mereka saman, kita boleh saman semula,” katanya.

Tengku Adnan berkata, DBKL banyak berlembut dalam isu mengutip cukai pintu dan masih ada RM300,000 tunggakan cukai taksiran oleh warga kota.

“Kita boleh tangguhkan bayaran. Kita boleh bagi bayar dua kali. Kita boleh buat apa sahaja. Pada masa ini pun kami tidak dapat mengutip RM300,000 daripada rakyat. Kami tidak buat apa-apa. Kami pujuk mereka suruh bayar. Kami kerajaan yang baik.

“Tetapi kadang-kadang rakyat tidak sedar kita juga ada undang-undang. Jadi ikutlah undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Lumpur tetap bertegas akan meneruskan petisyen bantahan besar-besaran 16 Disember ini.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata biarpun kerajaan menerusi kenyataan Loga Balan memutuskan untuk menangguhkan pelaksaan kenaikan tarif tapi rakyat bandar perlu diingatkan ia hanya bersifat sementara.

"Kenaikan akan tetap berlaku menyebabkan kita tetap dengan pendirian mengumpul penduduk bandar menghantar surat bantahan pada 16 Disember ini di DBKL, " katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat memutuskan untuk menangguhkan cadangan menaikkan kadar cukai taksiran di Kuala Lumpur berikutan bantahan daripada ahli Parlimen dan pemilik bangunan di ibu negara.

Tiada ulasan: