Rabu, 27 November 2013

Anwar : Tolak usul intipan tunjuk kerajaan Najib lemah

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) membantah penolakan kerajaan terhadap usul mengecam pengintipan Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura ke atas Malaysia.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sikap kerajaan yang selalu berlembut dalam isu terbabit menunjukkan kelemahan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

anwar white

“Kita tidak setuju dengan cara kerajaan yang terlalu lemah. Saya ulangi sifat kerajaan yang lembik menangani isu ini seperti mana saya nyatakan minggu lepas.

“Kita bantah isu yang serius menyentuh kepentingan, keselamatan dan maruah negara yang boleh ditolak sewenang-wenangnya,” kata Anwar kepada Keadilan Daily, di sini, hari ini.

Usul tergempar yang dibentangkan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin semalam ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan tidak perlu dibincangkan dalam kadar segera.

Usul itu dibentangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bertujuan mengutuk tindakan tiga negara terbabit yang didakwa bekerjasama untuk memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet negara bagi mengintip Kerajaan Malaysia dan pemimpin negara.

Shamsul ketika membacakan usul berkenaan berkata, akhbar Australia iaitu Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan, terdapat risikan ke atas Malaysia oleh Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia seperti didedahkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden.

“Yang terkini, seperti dilaporkan media Belanda iaitu NRC Handelsblad, Singapura juga didedahkan turut membantu menyediakan akses komunikasi dan menjadi rakan utama dalam kumpulan perisikan ’5-Eves’ yang diketuai AS bagi tujuan merakam perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi di Kuala Lumpur.

“Selanjutnya media Australia, Fairfax pula mendedahkan bahawa Singapura adalah rakan kepada Agensi Perisikan Elektronik Australia iaitu “Defence Signals Directorate” untuk memintas kabel SEA-ME-WE 3 yang juga kabel telekomunikasi terpanjang di dunia dan diuruskan Singtel, syarikat telekomunikasi milik Kerajaan Singapura.

“Sementara kita memperakui hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan AS, Australia serta Singapura di bawah asas utama kepada perhubungan ini adalah kepercayaan sesama negara, tetapi aktiviti pengintipan dan risikan terhadap setiap pimpinan negara ini tentunya mencabuli negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka,” kata Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda PKR.

Katanya, Malaysia perlu mencontohi tindakan tegas pimpinan Brazil, Jerman dan Indonesia yang membantah pengintipan antaranya menuntut permohonan maaf serta memanggil pulang duta mereka di Australia.

“Kecaman keras daripada Dewan ini perlu bagi memberi tekanan kepada tiga negara itu. Mesej jelas dan tegas perlu dizahirkan rakyat Malaysia kepada mereka.

“Kegagalan kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk mengeluarkan pendirian tegas akan menyebabkan tindakan biadap ini terus berlaku,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: