Sabtu, 23 November 2013

Ada ahli PAS 'terkejut' konsert Gig Green Zone

Hazayani Zakaria 


SHAH ALAM: PAS menjelaskan konsert Gig Green Zone yang diadakan di Stadium Malawati malam tadi tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan PAS berhubung program-program hiburan.

Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS, Dr Muhaimin Sulam berkata, PAS sudah kerap kali menganjurkan konsert bagi menarik anak muda.

Namun katanya, mungkin ada ahli PAS yang 'terkejut' dengan program sedemikian yang disifatkan sebagai 'keras'.

"PAS bukan baru sekali menganjurkan konsert melibatkan artis-artis namun pertama kali diadakan menjelang muktamar dan mungkin ada yang terkejut dengan perkara 'baru' sebegini," kata beliau pada sidang media di Stadium Malawati petang tadi.

Terdahulu, seorang perwakilan dari Kedah membangkitkan perkara tersebut sewaktu pembentangan laporan di Muktamar PAS Ke-59 hari ini.

Beliau mendakwa konsert malam tadi yang menampilkan kumpulan heavy metal Heart Attack tidak menepati budaya PAS.

Penyelaras Program Karnival PAS For All, Mohd Farhan Mazlan bagaimanapun menjelaskan kumpulan tersebut ditampilkan bersama artis yang sudah berhijrah, Sham Kamikaze dan Ustaz Nazmi Karim.

Program tersebut turut dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan tazkirah berhubung adab berhibur.

Bekas Ketua Pemuda PAS yang sekarang merupakan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut memukul drum sebagai simbolik kepada persembahan.

"Program malam tadi bukan sahaja melibatkan konsert malah turut disertakan dengan alunan selawat. Jadi tidak timbul isu konsert malam tadi tidak sesuai dengan budaya PAS.

"Untuk menarik anak muda, kita perlu berani melakukan pembaharuan selagi tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Tiada ulasan: