Ahad, 27 Oktober 2013

Tahun 2014 Menjadi Fokus PDRM Mengembalikan Kepercayaan!

 MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Mampukah Peruntukan Besar Bajet Untuk PDRM Menjadikan Negara Selamat Dan Aman?


Dalam bajet 2014, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 200 juta untuk PDRM dengan senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik.

Selain itu, bajet 2014 juga diperuntukkan untuk menambah kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan Pihak berkuasa Tempatan, menambah 200 buah motosikal menjadikan jumlah keseluruhannya 2,000 buah motosikal untuk Unit Rondaan Bermotosikal.

71361101136_295x200

Persoalannya mampukah kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) PDRM menjadikan negara selamat dan aman dengan peruntukan besar kerajaan sebanyak RM 8.8 bilion dalam Bajet 2014?

Peruntukan itu diharapkan mencukupi untuk melengkapkan PDRM dengan peralatan terkini dan canggih sebagai perlindungan buat anggota PDRM ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan kerana umum mengetahui bahawa kejadian jenayah di negara ini semakin membimbangkan.

Kejadian jenayah berat berlaku setiap hari secara luar perikemanusiaan oleh segelintir penjenayah menjadikan rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan samada di kawasan sunyi atau tumpuan ramai orang, di tempat kerja, kawasan awam malah di dalam rumah mereka sendiri.

Penjenayah mampu menerobos masuk ke kediaman yang begitu selamat, walau dibentengi dengan pelbagai langkah dan peralatan keselataman.

Dalam insiden terbaharu, seorang gadis remaja ditemui mati dalam beg pakaian, seorang pengurus bank di tembak mati di kepala oleh pengawal keselamatan bank tersebut manakala seorang pesakit jiwa mengamuk dengan menikam dan membunuh beberapa orang awam.

Ini belum dikira dengan beberapa siri jenayah tembakan menggunakan senjata api terhadap ramai mangsa.
Rakyat mahu senjata api dapat dikawal sepenuhnya daripada terlepas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru PDRM perlu meluaskan modus operandi meliputi seluruh kawasan di negara ini terutama di kawasan sempadan bagi mengelakkan senjata api diseludup masuk.

bag

PDRM juga perlu membuktikan bahawa senjata api yang dimiliki tidak hilang, cicir atau terlepas ke pihak lain seperti mana yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 tempohari.

Selain itu, kumpulan kongsi gelap perlu segera dihapuskan, diperangi dan dibanteras sepenuhnya agar pengaruh mereka tidak meluas di samping mampu mengawal kejadian jenayah.

Rakyat mengharapkan agar anggota PDRM ditempatkan di mana-mana lokasi terutama di kawasan awam, pusat membeli belah, kawasan sunyi dan berisiko tinggi, kawasan kediaman terutama di tempat yang padat penduduk supaya kejadian jenayah tidak berlaku.

Tambahan lagi, amalan rasuah di kalangan anggota PDRM serta anggota PDRM yang bersubahat mahupun terlibat dengan jenayah perlu dibanteras semaksimum mungkin.

Rakyat mula hilang kepercayaan terhadap pasukan keselamatan andai ada anggota mereka sendiri yang terlibat atau bersekongkol melakukan jenayah.

Tahun 2014 menjadi fokus dan bukti bahawa PDRM mesti membuktikan mereka mampu memikul tugas menjaga keselamatan negara dengan cemerlang.

Keselamatan rakyat di tangan mereka dan keamanan negara menjadikan kehidupan rakyat lebih tenteram dan sentosa.

*** MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ, Timbalan KetuaDewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tiada ulasan: