Selasa, 29 Oktober 2013

Susu tamat tempoh: Azeez digesa mohon maaf

Harakahdaily,
 

JERAI: Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar memandang serius tindakan BN yang menghadiahkan susu tamat tempoh kepada pengundi di sini.

Menurut beliau, tindakan itu tidak seharusnya berlaku kerana ianya boleh mengancam kesihatan pengguna khususnya pengundi di sini.

"Tak kan la punya sengkek, kedekut piang BN ni. Cari la yang elok sikit nak bagi kat orang," kata Mahfuz dalam loghat Kedah pada sidang media harian di markas induk PRK Sungai Limau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan seorang pengundi yang menerima susu tamat tempoh daripada jentera BN yang datang berkempen ke rumahnya di Sungai Dedap di sini semalam.

Pada bahagian bawah tin susu yang deberi bersama tepung gandum, beras dan gula itu tertera tarikh luput pada 26 Oktober 2013 iaitu dua hari lalu.

Pada beg plastik luar pula tertera nama dan gambar Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut perkara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa  Abdul Azeez bertanggungjawab dan memohon maaf kepada pengundi di sini.

"Jangan hina orang Sungai Limau dengan susu tamat tempoh.

"Saya minta penerima untuk periksa dahalu tarikh luput tersebut. Kalau sudah tamat tempoh, jangan makan, kita khuatir keracunan," katanya.

Islam ajar beri yang terbaik

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali yang turut serta pada sidang media tersebut berkata, tindakan tersebut juga bercanggah dengan nilai-nilai agama.

Katanya, Islam mengajar umatnya agar memberi hadiah dengan sesuatu yang baik kepada orang lain yang tidak memudaratkan penerimanya.

"Islam ajar kita bagi hadiah dengan barang yang baik dan elok.

"Seperti yang diajar agama bahawa jangan beri barangan yang tidak elok yang kita sendiri tidak mahu mengambilnya (jika barang itu diberi kepada kita)," katanya.

Tiada ulasan: