Selasa, 29 Oktober 2013

Selepas Mahfuz, Pahrolrazi pula difitnah

Harakahdaily,
 

JERAI: Selepas memfitnah Datuk Mahfuz Omar dengan sistem pesanan ringkas (SMS) palsu kelmarin, teknik sama juga digunakan terhadap Adun Pengkalan Kundur Datuk Pahrolrazi Mohd Zawawi.

Kali ini, pihak terbabit menyebarkan SMS menggunakan nombor telefon Pahrolrazi kononnya beliau tidak berpuas hati dengan PAS Kedah kerana jentera Kuala Kedah ditempatkan di Dulang Besar dan Dulang Kecil untuk PRK kali ini.

Menurut Pahrolrazi, beliau menerima panggilan dan SMS bertubi-tubi sejak malam tadi yang menanyakan kesahihan perkara itu.

"Ini satu taktik politik yang sangat kotor untuk memporak perandakan PAS.

"Semua keputusan (penempatan kawasan) dibuat jawatankuasa induk, dan saya salah seorang ahli induk. Perkara ini tidak berbangkit," katanya pada sidang media hari ini.

Lebih besar dari itu ujarnya, apa yang dipersoalkan adalah keselamatan sistem komunikasi yang dilihat mudah diceroboh pihak tertentu.

Beliau juga telah menghubungi syarikat pembekal telekomunikasi berkenaan, dan mendapati mereka tiada rekod dan mendakwa ianya berlaku dengan pintasan sistem.

"Saya yakin ini tindakan musuh politik, oleh pihak yang berkemampuan, ada duit dan ada akses untuk berbuat demikian.

"Sudah tentu kerja musuh, kawan tak buat macam ni," katanya.

Sehubungan itu beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Laporan polis ini juga saya akan serahkan kepada syarikat telekomunikasi untuk menyiasat siapa dalang kepada kes ini," katanya.

Kelmarin, nombor telefon Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dipintas pihak tertentu untuk menyebar SMS palsu kononnya beliau menghina calon BN, Dr Ahmad Sohami Lazim.

SMS fitnah itu antara lain mendakwa Ahmad Sohaimi pernah menerima rawatan mental.

Mahfuz pada sidang media semalam bagaimanapun telah menafikan SMS itu daripadanya, sebaliknya menjelaskan ia tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nombor telefonnya.

Tiada ulasan: