SHAH ALAM – Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan kerajaan membelanjakan RM1.6 juta untuk membawa masuk tiga kumpulan K-Pop dari Korea Selatan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012, tahun lalu.

Tiga kumpulan itu ialah U-Kiss, Teen Top dan Dal Shabet.

Laporan itu menyatakan, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada perbelanjaan RM2.94 juta untuk menjayakan program tersebut.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut ditegur oleh Ketua Audit Negara kerana berbelanja terlalu tinggi dan tidak menepati perbelanjaan berhemat yang sepatutnya diamalkan kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara ternyata bercanggah dengan kenyataan Ketua Setiausaha KBS pada masa itu, Datuk Mohid Mohamed yang dilaporkan berkata, tiada wang rakyat digunakan untuk membayar artis berkenaan.

Mohid berkata, persembahan pada Mei 2012 itu yang diuruskan oleh Stadium First Sdn Bhd, dibiayai dengan tajaan swasta.

Menurutnya, KBS menerima tajaan keseluruhan bernilai RM28 juta untuk himpunan itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, KBS terpaksa menanggung pembayaran konsert tersebut setelah penaja menarik diri.

“Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana ketika itu ada tawaran daripada mereka untuk menaja aktiviti tersebut. Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran.

“Untuk makluman, acara konsert K-Pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013 dan seterusnya,” katanya di laman Facebook, semalam.

Khairy berkata, beliau memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 melibatkan kementeriannya.

“Jika kita serius melakukan transformasi ke arah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan. Rakyat tidak mahu melihat pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini.

“Saya juga tidak boleh menggunakan alasan laporan ini melibatkan perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri. Prinsip kebertanggungjawaban bersama bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya,” katanya.

Katanya, beliau telah meminta maklum balas daripada pegawai KBS berkaitan perkara lain yang dibangkitkan dalam laporan audit sebelum mengambil tindakan selanjutnya.