Sabtu, 12 Oktober 2013

Pemimpin DAP digesa berhenti berbalah, ingat amanah rakyat.

anthony loke


KUALA LUMPUR: Kepimpinan DAP Pusat menasihati semua pemimpin parti segera menghentikan perbalahan secara terbuka demi menghormati amanah yang diberikan rakyat serta menjaga imej parti.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Foke dalam kenyataan media ringkasnya hari ini memberitahu bahawa kepimpinan pusat runsing dengan beberapa kenyataan yang dibuat pemimpin DAP di Melaka dan Johor minggu lalu yang memberi persepsi negatif terhadap hal ehwal parti.

“Ibu pejabat parti menerima banyak panggilan telefon daripada orang awam menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap perkelahian secara terbuka di kalangan wakil rakyat kita,” ujar beliau.

“Mereka digesa berhenti meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka dan menggunakan saluran dalaman parti untuk membuat apa sahaja aduan atau menyelesaikan apa-apa masalah,” kata Anthony Loke lagi sambil menambah bahawa kepemimpinan pusat sedia bertemu dengan jawatankuasa DAP negeri dan semua yang terbabit untuk mencapai persetujuan dan kata putus.

Menurutnya lagi, semua pemimpin parti dan wakil rakyat harus sedar bahawa mereka memikul amanah rakyat Malaysia pada pilihan raya umum lalu.

“Kami semua ada tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti daripada dalam serta memperelok imej parti” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: