Jumaat, 4 Oktober 2013

Menteri guna dana kerajaan lobi jawatan MT

MALAYSIA CHRONICLE



KOTA BHARU - Sekarang bukan lagi ketua-ketua bahagian yang menjadi alat, sebaliknya pegawai dan kakitangan kerajaan juga “diarah” berkempen membantu menteri bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Jabatan atau agensi kerajaan kini difahamkan sibuk mengatur program untuk membolehkan menteri bertemu bahagian-bahagian Umno.

Menurut beberapa sumber, jabatan dan agensi berkaitan di bawah menteri diarah mengatur pertemuan dengan bahagian-bahagian Umno atas nama program kerajaan.

“Ada menteri yang datang ke sini sebelum ini meminta jabatan di bawahnya mengatur program bersama masyarakat, namun disyaratkan ada cawangan-cawangan Umno yang hadir.

“Boleh dikatakan menteri dan timbalan menteri datang bersilih ganti mengadakan program bersama cawangan-cawangan Umno yang berselindung di sebalik nama program kerajaan,” katanya.

Persidangan Umno peringkat cawangan diadakan sehingga 15 September lalu, manakala mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian akan diadakan serentak 12 Oktober ini.

Pemilihan MT dan wakil bahagian ke Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan serentak pada 19 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno pula akan diadakan bermula 2 Disember 2013.

Sebelum ini Harakahdaily mendedahkan kegiatan menteri dan timbalan menteri menggunakan agensi kerajaan bagi melobi mendapat kedudukan kerusi MT Umno.

Sumber lain juga mendakwa ada menteri menggunakan sepenuhnya dana kerajaan bagi menghimpunkan seramai mungkin wakil-wakil bahagian Umno untuk melobi dirinya.

“Menteri mengarahkan supaya diadakan perjumpaan melibatkan seramai mungkin bahagian-bahagian Umno.

“Program itu diadakan atas nama kerajaan dan menggunakan wang rakyat. Pegawai dan kakitangan kerajaan pula dijadikan alat bagi mengatur pertemuan tersebut,” ujarnya.Harakahdaily

Tiada ulasan: