Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
 
 Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA KANGSAR - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya akan mengambil kira keputusan lembaga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di ibu negara berhubung pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan sekolah itu.
  
Beliau berkata, walaupun Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah pengambilalihan tanah itu, ia tidak memberikan sebarang impak.
  
"Hanya yang diputuskan oleh anggota lembaga Sekolah Chin Woo  yang saya ambil kira, kalau anggota lembaga setuju, saya setuju, kalau Dong Zong saya tak peduli," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Membaca 1Malaysia di sini hari ini.
  
Mohamed Nazri turut menyifatkan Dong Zong sebagai pengacau terhadap segala usaha yang kerajaan lakukan untuk membantu rakyat berbilang kaum di negara ini.
  
Kementerian berhasrat mengambil tanah milik kerajaan seluas 0.13 hektar itu yang terletak dalam kawasan sekolah itu di Pudu, Kuala Lumpur, bagi membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun keputusan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sekolah itu sejak 1938.
  
Mengenai karnival membaca itu, beliau berkata setiap rakyat Malaysia disasar membaca 20 buah buku tahun ini.
  
"Rakyat negara lain membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun sehinggakan kita dapat melihat mereka membaca di mana sahaja. Apa pun saya percaya, Malaysia juga mampu mencapai tahap tersebut berdasarkan kepada usaha-usaha galakan berterusan yang dijalankan oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.
  
Katanya berdasarkan kajian dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia pada 2010, jumlah buku dibaca setiap rakyat Malaysia meningkat kepada lapan hingga 12 buku setahun berbanding dua buah buku pada 2005. - Bernama