Ahad, 27 Oktober 2013

DAP terus bantah GST, kecam belanjawan kerajaan tidak realistik

GST


KUALA LUMPUR: DAP mengecam Belanjawan 2014 kerajaan yang dilihat longgar daripada pelbagai aspek dan tidak mempunyai langkah efektif untuk membantu rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun beliau berbesar hati dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2014 itu untuk menambah peruntukan kepada keselamatan, namun tidak ada sebarang langkah khusus untuk mengatasi masalah rasuah yang berleluasa.

Beliau juga menyelar tindakan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akhirnya akan menyusahkan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Malaysia seperti yang kita ketahui dilabel sebagai juara dunia dalam rasuah oleh media barat dan Transparency International, persoalannya kini mengapa tidak ada inisiatif baru ke arah membendung perkara itu.

“Saya mengalu-alukan peruntukan yang lebih untuk keselamatan, tetapi berharap ia akan digunakan dengan betul.

“Kita tidak mahu lagi mendengar sebarang kecuaian tidak masuk akal seperti kehilangan senjata di mana-mana dan kemudian tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyelesaikannya.

“GST pula akan membebankan golongan pertengahan dan miskin negara. Di Malaysia, hanya enam peratus penduduk membayar cukai dan hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui di Parlimen.

Ahli Parlimen DAP Bagan itu juga berkata, pelaksanaan GST jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berlaku adil kepada rakyat malah cuba untuk menyukarkan lagi kehidupan mereka.

“Mereka bukan sahaja melaksanakan GST mulai April 2015, tapi turut menghapuskan subsidi gula. Pada saya ini bukannya langkah sesuai untuk berjimat,” tegasnya.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pula menegaskan, GST sebenarnya tidak membantu ekonomi negara tapi akan membawa bencana pada ekonomi.

“Belanjawan 2014 ini ternyata tidak mempunyai idea baru tetapi hanya meneruskan model ekonomi yang diamalkan BN sejak dulu.

“Apa yang baru ialah GST, ia sebenarnya tidak membantu ekonomi kita secara keseluruhan, ia akan mengakibatkan kemelesetan ekonomi.

“Apabila golongan berpendapatan rendah tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli ia akan menyebabkan berlaku ‘domestic consumption’ lebih rendah dan dengan itu akan menyebabkan kemelesetan,” ujarnya yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan.

Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula menganggap pelaksanaan GST sama sekali tidak diperlukan di Malaysia.

“Saya sudah menjangkakan GST akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2014, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-13, jika mereka melakukan sebelum PRU-13 ia akan membawa masalah kepada mereka, jadi mereka melaksanakan sekarang.

“Kami sudah berkali-kali menentang GST ini, ia sama sekali tidak diperlukan. Walaupun mereka meningkatkan kutipan hasil tetapi perbelanjaan tetap terus naik.

“Saya juga tertanya mengapa tidak ada sebarang langkah diambil untuk mencegah atau membasmi ketirisan, pembaziran dan rasuah di dalam sistem kerajaan sedia ada,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: