Sabtu, 26 Oktober 2013

Bajet JPM melonjak ke paras paling tinggi

 

 

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk mengekang defisit negara, namun belanjawan jabatannya sendiri telah melonjak ke paras tertinggi.

Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, anggaran bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun depan berjumlah RM16.45 bilion, dengan perbelanjaan operasi RM5.86 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM10.58 bilion.

putrajaya aerial view 02 201106Jumlah itu adalah peruntukan tertinggi kepada JPM, dan memecahkan rekod sebelum ini iaitu bajet RM15.62 bilion pada 2011.

Perbelanjaan JPM pada tahun-tahun sebelumnya ialah RM6.91 bilion (2008), RM10.19 bilion ( 2009), RM11.88 bilion (2010), RM15.62 (2011 ), dan RM13.721 bilion (2012).

Peruntukan bajet 2014 bermakna JPM telah, buat kali pertamanya dalam tempoh tiga tahun, mengatasi kementerian pertahanan  dengan bajet 2014 sebanyak RM16.1 bilion.

Bajet bagi kementerian pendidikan bagi 2014 ialah RM54.6 bilion, manakala kementerian kesihatan di tempat kedua dengan RM22.16 bilion.

Antara perkara yang mengambil sebahagian besar bajet JPM adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( RM779 juta), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (RM631 juta) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( RM367 juta).

Ketika membentangkan Bajet 2014 semalam, Najib berkata negara mensasarkan untuk terus mengurangkan defisit daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) tahun ini kepada 3.5 peratus tahun depan

Tiada ulasan: