Rabu, 2 Oktober 2013

Audit Tidak Puas Hati Dengan Pengurusan Perolehan Beechcraft King Air 350

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Pengurusan perolehan pesawat Beechcraft King Air 350 didapati kurang memuaskan berikutan beberapa kelemahan termasuk ketidakpatuhan kepada syarat kontrak dan kelewatan pembekalan pesawat.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menyatakan kelemahan lain dalam pengurusan perolehan pesawat itu ialah objektif latihan bagi juruterbang dan jurutera tidak dicapai selain kekurangan tenaga kerja terutamanya bagi jawatan juruterbang dan jurutera.

Pada September 2005, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi perolehan pesawat itu yang dibuat secara rundingan terus dengan Hawker Pasific Airservices LTD (HPA) melalui ejennya EZ Aviation Sdn Bhd (EZA).

PGU membeli pesawat itu kerana ia antara lain mampu meningkatkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat terutama di lautan, membuat penghantaran cepat pasukan kecil untuk menangani krisis serta menyediakan perkhidmatan udara untuk semua jabatan PDRM bagi meningkatkan kelicinan dan keberkesanan pelaksanaan.

Harga rundingan kontrak perolehan pembekalan lima unit pesawat itu bernilai US$58.25 juta (kira-kira RM186 juta) namun pembekal gagal membekalkan pesawat mengikut kontrak yang ditetapkan.

Berikutan kelemahan dalam pengurusan perolehan itu, laporan itu mengesyorkan supaya PGU dan KDN memastikan bayaran yang dibuat kepada pembekal mematuhi syarat yang ditetapkan dalam kontrak.

PGU dan KDN juga perlu memastikan klausa dalam kontrak berkaitan Ambil Alih Hak Milik dan Risiko perlu memihak kepada kerajaan bagi mengelak kerugian dalam proses perolehan.

Laporan itu mengesyorkan supaya bayaran pampasan (LAD) dikenakan terhadap syarikat pembekal berikutan kelewatan pembekalan pesawat dan peralatan khas operasi, yang selaras dengan syarat yang ditetapkan di dalam kontrak.

"Tindakan untuk menamatkan kontrak juga hendaklah diambil sekiranya pembekal gagal membekalkan dua buah lagi pesawat," menurut laporan itu.

Selain itu, PGU perlu memastikan pembekal berusaha mendapatkan pengiktirafan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi juruterbang yang telah menghadiri latihan supaya boleh menjadi juruterbang pengajar.

Laporan itu juga mengesyorkan PGU supaya mengkaji keperluan jawatan juruterbang dan jurutera selain memastikan pihak yang berkaitan memberi perhatian sewajarnya untuk menambah perjawatan penting seperti juruterbang dan jurutera. - BERNAMA

Tiada ulasan: