Jumaat, 4 Oktober 2013

Anwar desak PAC siasat Laporan Audit Negara

Anwar Ibrahim   
 Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat sidang khas bagi meneliti dan mengambil tindakan tegas terhadap penyelewengan dan kebocoran yang berlaku, melibatkan beberapa kementerian dan jabatan kerajaan.

Anwar menegaskan walaupun perkara itu banyak kali didedahkan dalam Laporan Audit Negara, namun tiada tindakan susulan diambil khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah di peringkat pentadbiran kerajaan.

"Kita seolah-olah terkejut dengan kebocoran dan penyelewengan yang berlaku saban tahun dan ia semakin parah tetapi tiada tindakan tegas diambil.

"Kami mahu SPRM mengemukakan laporan tentang siasatan penyelewengan ini bukannya beri alasan dalam siasatan dan pertimbangan," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan pada 1 Oktober lalu berhubung pelbagai kelemahan dalam mentadbir urus dana awam termasuklah penyelewengan, pembaziran awam dan ketirisan melibatkan kementerian dan jabatan kerajaan.

Antara kelemahan yang dikesan dalam pengurusan dana awam itu termasuklah kos pembangunan laman sosial Facebook dan Twitter bagi aktiviti promosi kesihatan yang bernilai RM320,000.

Ketua Audit Negara turut menegur kempen Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi pengagihan barangan dalam bentuk cenderahati seperti beg galas dan penanda nota bermesej yang tidak diagihkan kepada golongan sasar disebabkan penggunaan perkataan tidak sesuai.

"Beg galas dan pelekat penanda yang memaparkan slogan 'Smoking, A Stupid Habit for Stupid People' tidak sesuai diagihkan kepada golongan sasar," menurut laporan itu.

Jabatan Audit Negara turut mendapati poster dan risalah di mana karya seni yang siap disediakan secara dalaman dan cetakan dibuat syarikat percetakan mengandungi beberapa kesilapan laras bahasa dan ejaan melibatkan kos melebihi RM31,200.

Tiada ulasan: