Jumaat, 4 Oktober 2013

Adun Bukit Kepayang pertikai belanjawan tambahan RM10 juta

 
Lazimnya apabila Belanjawan Tambahan P50 dipohon, nilainya sekitar 10-30 peratus sahaja. Tapi kali ini jumlahnya meningkat 100 peratus. 

 

DUN Negeri Sembilan 


SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP-Bukit Kepayang, Cha Kee Chin mempertikaikan permohonan Belanjawan Tambahan P50 sebanyak RM10 juta yang dipohon oleh Kerajaan Negeri Sembilan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan ke-13 (Penggal Pertama) semalam.

“Lazimnya pada tahun-tahun sebelumnya, apabila Belanjawan Tambahan P50 dipohon, nilainya sekitar 10-30 peratus sahaja. Tapi kali ini jumlah yang dipohon meningkat 100 peratus. Nilai Belanjawan Tambahan P50 yang dipohon sama nilainya dengan Belanjawan Tahunan 2013 P50.

“Tahun lepas Persidangan DUN meluluskan Belanjawan Tahunan 2013 P50 sebanyak RM10 juta. Saya terkejut apabila Yang berhormat Rantau (Mohamad Hasan) memohon RM10 juta lagi sebagai Belanjawan Tambahan P50 2013.

“Sedia maklum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berlangsung pada bulan Mei tahun ini. Apakah peruntukan Belanjawan Tahunan P50 2013 sebanyak RM10 juta habis digunakan untuk kempen PRU-13?
“Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Rantau,” kata Cha.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad (BN – Rantau), dalam jawapan beliau berkata nilai RM10 juta yang dipohon itu tak semestinya dibelanjakan sepenuhnya tetapi sebaliknya hanya peruntukan sahaja.

“Kita tidak habiskan RM10 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan Tahunan P50 2013. Ada lagi sikit bakinya. Tetapi kita pohon Belanjawan Tambahan P50 2013 sebanyak RM10 juta hanya sekadar penyediaan sekiranya Kerajaan Negeri memerlukan untuk tujuan tertentu.

“Tahun ini Kerajaan Negeri banyak peruntukkan wang kepada NGO-NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan sekolah-sekolah.

“Sebanyak RM5 juta telah dibelanjakan untuk NGO-NGO dan RM3 juta untuk sekolah-sekolah.
“Saya ada senarai penuh penerima sumbangan ini tetapi senarainya terlalu panjang kerana banyak NGO-NGO dan sekolah yang terima sumbangan peruntukan ini.

“Yang Berhormat Bukit Kepayang (Cha) boleh datang ke pejabat saya untuk semak jika mahu,” jelas Mohamad.

Dalam setiap belanjawan tahunan, terdapat beberapa ‘kepala’ dan salah satunya P50. P50 merupakan belanjawan iaitu peruntukan kewangan yang dikhas untuk tujuan memberi sumbangan kepada NGO, sekolah, tokong, kuil dan juga untuk tujuan kecemasan apabila berlaku bencana alam.

JKM bantu orang mati 

Cha juga turut membangkitkan isu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2012 untuk Negeri Sembilan yang mendedahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membayar bantuan bulanan kepada 40 individu yang sudah meninggal dunia.

“Adalah amat mengejutkan apabila JKM masih membayar bantuan bulanan kepada 40 individu yang telah meninggal dunia. Kalau bayar pada waris tidak mengapa kerana waris mangsa mungkin berada dalam kesusahan.

“Tetapi cek dibayar atas nama individu yang sudah meninggal dunia. Daripada 40 individu itu, 26 individu dari Seremban, 11 daripada Kuala Pilah dan tiga daripada Port Dickson.

“Jumlah bantuan bulanan yang dibayar oleh JKM kepada 40 individu yang meninggal dunia ini ialah sebanyak RM45,300.00,” ujar Cha.

Mohamad dalam jawpan beliau berkata beliau amat kesal dengan pendedahan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pegawai terbabit.

“Saya pun baru semalam menerima dan menyemak LKAN. Saya amat kesal dan akan mengambil tindakan ke atas pegawai terbabit jika benar bersalah. Saya akan pastikan isu seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Komposisi jawatankuasa DUN 

Sementara itu beberapa jawatankuasa DUN diumumkan semalam, termasuk Jawatankuasa Terpilih, Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Kira-Kira (PAC), Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan.

Bagaimanapun Cha mewakili Pakatan Rakyat menyatakan kekesalan beliau kerana komposisi anggota jawatankuasa tidak mencerminkan peratus Adun Pakatan dalam sidang DUN Negeri Sembilan.

“Di parlimen ahli parlimen Pakatan ialah seramai 89 orang atau 40 peratus daripada 222 ahli parlimen keseluruhannya.

“Di DUN Negeri Sembilan, Adun Pakatan adalah seramai 14 orang atau 39 peratus daripada 36 Adun keseluruhannya.

“Di Parlimen Jawatankuasa Kira-Kira mempunyai 14 ahli parlimen sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira. Lima daripada mereka ialah dari Pakatan (DAP, PKR dan PAS).

Ini merangkumi 36 peratus daripada 14 ahli jawatankuasa tersebut, hampir sama dengan jumlah ahli parlimen Pakatan.

“Tetapi dalam Jawatankuasa Kira-Kira DUN Negeri Sembilan hanya seorang daripada Pakatan dipilih daripada enam ahli Jawatankuasa Kira-Kira keseluruhannya.

“Ini hanya mengambarkan 17 peratus sedangkan Adun Pakatan dalam DUN Negeri Sembilan ialah 39 peratus,” jelas Cha.

Tiada ulasan: