Rabu, 18 September 2013

Pasangan didakwa punca tumpahan minyak di Sungai Selangor

OLEH RITA JONG
























Pasangan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menyebabkan tumpahan minyak di Sungai Selangor lebih tiga minggu lalu.

Mahkamah mendakwa Ng Kim Bok, 55 dengan 30 kiraan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Enakmen Pihak Berkuasa Pengurusan Air Selangor.

Isterinya H'ng Soo Chiew, 56 turut dikenakan dakwaan bersama dengan 20 kiraan. Dakwaan dibuat terhadap mereka sebagai pemilik (bagi Ng) dan pengarah (kedua-duanya) bagi tiga syarikat.

 Syarikat berkenaan adalah Muhibbah Mok Workshop, Muhibbah Mok Sdn Bhd dan Ng Kim Bok Realty Sdn Bhd.

Muhibbah Mok Workshop terletak di lokasi di mana tumpahan itu berlaku. Muhibbah Mok Sdn Bhd sebagai syarikat pemilik bengkel manakala Ng Kim Bok Realty memiliki tanah berkenaan.

Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Tumpahan minyak di Sungai Selangor itu menyebabkan lebih sejuta penduduk mengalami masalah gangguan bekalan air.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Bakau dan Sungai Gong di Gombak, yang kemudiannya menghala ke Sungai Selangor, antara 9.50 pagi hingga 11.40 pagi pada 30 Ogos, 2013.

Ng dan Hg didakwa melepaskan bahan buangan berjadual ke tanah dan air tanpa lesen.

Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar membenarkan Ng diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan satu penjamin dan H'ng sebanyak RM100,000 dengan satu penjamin bagi semua dakwaan.

Beliau menetapkan 10 Oktober untuk tarikh sebutan.

Timbalan pendakwaraya Mohd Ashrof Adrin dan Dinesh Raja Dorai Raja, manakala Ng dan H'ng tidak diwakili.

Pada 30 Ogos, Syarikat Bekalan Air Selangor telah mengaktifkan Kod Merah berikutan penutupan loji rawatan air disebabkan tumpahan diesel.

Kod Merah diaktifkan apabila situasi kritikal dan menjejaskan lebih sejuta pengguna.

Dilaporkan pengguna terdedah kepada pencemaran di Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang untuk kerja pembersihan.

Kesemua empat loji rawatan air itu membekalkan 2.67 bilion liter air sehari mencakupi 57 peratus penggunaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Insiden itu turut menimbulkan pertelingkahan antara kerajaan Selangor dengan Putrajaya kerana mendakwa kerajaan menimbulkan panik.

Selangor menegaskan Lembah Klang tidak seharusnya mengalami krisis bekalan air walaupun Kod Merah diberikan oleh konsesi air.

Tiada ulasan: