Isnin, 30 September 2013

PAS Desak PRK Sungai Limau Diadakan Sebelum Bajet 2014




KUALA LUMPUR: PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sebelum pembentangan belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata PRK itu perlu diadakan bagi mengelak pelbagai persepsi yang akan timbul akibat daripada pengumuman Belanjawan 2014 yand didakwa akan disalahgunakan oleh kerajaan untuk meraih undi rakyat.

"Kami mendesak PRK DUN Sungai Limau diadakan sebelum hari pembentangan Belanjawan 2014 yang akan diadakan pada 25 Oktober ini untuk mengelak pengumuman dari segi pemberian wang tunai (BR1M) mempengaruhi pengundi.

"Jika ini tidak berlaku sebelum pembentangan Belanjawan, tindakan itu dilihat sebagai suatu kesempatan oleh kerajaan untuk menyalahgunakan bajet tersebut," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak, Khamis lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Azizan yang juga bekas menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Mahfuz berkata, jika PRK diadakan segera, ia dapat mengelakkan pertembungan dengan pemilihan (Majlis Tertinggi) Umno dan Muktamar PAS.

Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno akan diadakan pada 19 Oktober manakala Muktamar PAS, 20 hingga 24 Oktober ini.

Ketika ditanya mengenai harapan PAS untuk mempertahankan kemenangan di kerusi tersebut, Mahfuz berkata beliau yakin pengundi-pengundi masih tetap akan mengundi PAS.

"Berdasarkan rekod, Azizan menang sejak pertama kali bertanding di situ pada PRU 1995 dan mengulangi kejayaan itu pada 2008 dan 2013. Saya yakin PAS akan mempertahankan kemenangan di kerusi itu nanti," katanya.

Sementara itu, Mahfuz enggan mendedahkan calon yang akan dipertaruhkan PAS untuk bertanding di kerusi itu.

"Kita tunggu saja hari penamaan calon nanti," katanya.

Tiada ulasan: