Sabtu, 28 September 2013

Menteri Luar Negeri elak menjawab jumlah pelarian Sri Lanka di M'sia

Oleh V Sivakumar



Pada 25/9/2013 saya telah menanyakan satu soalan lisan kepada Menteri Luar Negeri di Dewan Rakyat berhubung dengan pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka dan pelarian dari negara itu yang berada di Malaysia. Kementerian Luar Bandar telah menjawab bahagian pertama soalan saya secara bertulis iaitu berhubung dengan pendirian Malaysia terhadap pembunuh ribuan etnik Tamil di Sri Lanka.

Kerajaan menjawab bahawa Malaysia mengambil sikap berkecuali dalam isu yang dinamakan sebagai 'perang saudara' di Sri Lanka. Malaysia tidak mahu campurtangan dalam hal dalaman negara itu. Menteri Luar Negeri menjawab bahawa Malaysia berpegang teguh dengan sikap berkecuali dan tidak campurtangan dalam isu dalaman Sri Lanka.

Ini adalah satu sikap 'double standard' kerajaan yang sengaja tidak mahu campurtangan dalam hal ehwal pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka. Ini bukan satu perang saudara yang boleh dianggap ringan oleh kerajaan kita. Puluhan ribu etnik Tamil telah dibunuh secara kejam oleh kerajaan Sri Lanka. Wanita & anak-anak juga didera dan dibunuh secara kejam oleh tentera Sri Lanka. Ini adalah isu hak kemanusian.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan prihatin, Malaysia sepatutnya mengambil satu pendirian tegas dalam isu pembunuhan etnik Tamil Sri Lanka. Ia adalah sungguh memalukan terhadap negara kita apabila Menteri Luar Negeri memberi jawapan yang begitu lemah dan tidak berkeperimanusiaan. Negara kita tidak sensitif dalam isu pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka.

Rakyat dapat menilai dengan sendiri sikap 'double standard' Malaysia apabila kerajaan boleh campurtangan dalam urusan beberapa negara lain walaupun itu juga boleh dikategorikan sebagai 'perang saudara' ataupun isu dalaman. Kerajaan membuat pendirian dengan cepat dan menghulurkan bantuan kepada negara-negara tertentu. Itu adalah sikap yang perlu dipuji kerana berani membuat pendirian dan memperjuangkan hak asasi dan kemanusiaan. Tetapi, apabila isu Sri Lanka ditimbulkan, kerajaan mahu mengambil sikap berkecuali atau 'cuci tangan', kenapa?

Bahagian kedua soalan saya adalah mengenai jumlah pelarian dari Sri Lanka yang masih menetap di negara kita. Apakah bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada pelarian-pelarian Sri Lanka yang berada di sini? Tetapi, Menteri Luar Negeri memilih untuk tidak menjawab soalan saya.

Jawapan bertulis yang diberikan hanya melengkapkan bahagian pertama soalan saya. Bahagian kedua soalan saya iaitu mengenai pelarian dari Sri Lanka tidak dijawab langsung oleh kerajaan! Saya difahamkan ratusan pelarian Tamil dari Sri Lanka menetap di Malaysia. Mereka ini memegang kad pelarian yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation).

Selain daripada itu mereka tidak mendapat sebarang perlindungan lain di negara ini. Mereka dibiarkan begitu sahaja untuk 'mencari makan' di negara ini. Mereka terpaksa bekerja sebagai buruh kasar di kebun, restoran, kedai runcit dan sebagainya. Mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan untuk hidup. Adakah semua kenyataan-kenyataan saya ini benar?

Saya telah dapatkan maklumat ini daripada seorang pelarian Tamil dari Sri Lanka. Saya perlukan jawapan daripada Menteri Luar Negeri. Tetapi, Menteri Luar Negeri pula mengelak daripada memberikan jawapan kepada soalan saya ini. Adakah ini bermakna bahawa memang benar tidak ada apa-apa bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada pelarian-pelarian ini? Saya juga telah membangkitkan isu ini sewaktu perbahasan di Parlimen pada 26 September 2013.

YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak

Tiada ulasan: