Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan kad kredit melalui talian bebas tol yang dikenali sebagai 'Macau Scam'.
  
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, DSP Wong Ing Fong berkata modus operandi Macau Scam ini bermula apabila mangsa menerima panggilan dari seseorang yang mendakwa sebagai pegawai bank yang menyatakan kad kredit mangsa telah digunakan untuk sesuatu jenis transaksi.
  
"Mangsa akan menerima panggilan dari nombor talian bebas 1-300-8088 yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai bank dari sesebuah bank. Selepas itu, mangsa akan diberitahu bahawa kad kreditnya telah digunakan untuk membeli sesuatu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.
  
Beliau berkata sekiranya mangsa menafikan penggunaan kad kredit itu, mangsa akan menerima satu lagi panggilan dari nombor 03-27885038 yang kononnya dari Bank Negara Malaysia.
  
"Mangsa akan menerima panggilan yang menyatakan bahawa butiran mangsa telah disalahguna dan meminta mangsa ke mesin ATM bagi menukar nombor pengenalan peribadi (PIN).

"Mangsa dikehendaki mengikut arahan yang disediakan dengan memindahkan duit ke akaun baru yang telah disediakan bagi mengelakkan daripada disenarai-hitam," katanya.
  
Wong berkata sebelum ini Macau Scam hanya memfokuskan kaum Cina tetapi sejak kebelakangan ini, kaum Melayu dan India turut ditipu. 
  
"Sebelum ini hanya kaum Cina yang ditipu tetapi Macau Scam ini telah mengembangkan operasi mereka dengan melibatkan kaum-kaum lain. Sepanjang Januari hingga Ogos 2013, Kedah telah mencatatkan sebanyak 14 kes yang melibatkan RM200,000 telah dilaporkan kepada pihak PDRM," katanya.
  
Beliau menasihatkan agar orang ramai supaya tidak membuat sebarang pertukaran nombor PIN atau memindahkan wang melalui mesin teler automatik (ATM) sekiranya menerima sebarang panggilan yang mencurigakan.
  
"Orang ramai dinasihatkan untuk pergi ke bank terdekat untuk membuat pertanyaan sekiranya menerima panggilan yang menyatakan bahawa kad kredit telah disalahguna dan diminta untuk membuat laporan polis," katanya.
  
Suspek yang terbabit dalam Macau Scam ini boleh dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.- Bernama