Jumaat, 27 September 2013

“Isunya ialah PCA benarkan tahan tanpa bicara”

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Sebarang bentuk tahanan tanpa bicara adalah penafian hak asasi dan lebih dibimbangi jika penahanan didorong motif politik, kata ahli parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Perkara yang paling kontroversi ialah menahan seseorang tanpa bicara. Kalau ingin ketatkan PCA (Akta Pencegahan Jenayah), sewajarnya ditumpukan kepada pencegahan jenayah.

“PCA dikatakan meliputi penguatkuasaan dengan tujuan ketenteraman awam. Namun ada had dan peruntukan.

“Terutamanya bagi kes jenayah berat seperti gangsterisme dan pengedaran dadah. Kita boleh senaraikan kategorinya.

“Namun jangan berselindung di sebalik nama (PCA),” kata Shamsul (gambar) kepada Keadilandaily ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam
SHAMSUL_ISKANDAR.
Shamsul berkata demikian mengulas cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 oleh kerajaan yang membenarkan penahanan tanpa bicara untuk tempoh dua tahun.

Antara cadangan dibentangkan di Dewan Rakyat 25 September lalu ialah seksyen baru 7B bagi membentuk lembaga pencegahan jenayah dengan tiga anggota diketuai hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ia diberi kuasa menahan individu yang didaftarkan di bawah akta itu dan penahanan boleh ditambah tetapi tidak lebih dua tahun pada satu-satu masa.

Seksyen baru 15A mencadangkan semakan kehakiman terhadap keputusan atau tindakan lembaga tidak boleh dibuat, kecuali dalam perkara melibatkan prosedur.

“Apakah tidak cukup dengan Ops Cantas Khas? Bukankah statistik jenayah dikatakan telah menurun?, soal Shamsul.

Dalam pada itu, beliau turut bimbang sekiranya penahanan seseorang dibawah PCA dibuat dengan motif politik, namun bertopengkan kesalahan jenayah.

“Kerajaan dah umum pemansuhan Akta Hasutan, walaupun masih digunakan pada hari ini. Juga pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) secara zahir dan tuntas.

“Dengan pengenalan (PCA) yang berselindung di sebalik ‘muka baru’, kita tak melangkah ke hadapan. Ini mengekang demokrasi,” tegas Shamsul.

Tiada ulasan: