Ahad, 29 September 2013

FITNAH LAGI! Chin Peng pandang rendah orang Melayu - Utusan

MALAYSIA CHRONICLE



Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini mendedahkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng (gambar) adalah individu yang sering memandang rendah kepada orang Melayu, menentang kuat hak keistimewaan orang Melayu serta menafikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia.

Melalui akhbar edisi Ahadnya, Mingguan Malaysia, laporan berkenaan turut memetik beberapa pengakuan bekas pemimpin komunis Melayu.

''Bangsa Melayu adalah bodoh, mundur, pemikirannya tidak luas dan hanya berkisar dalam penghidupan kampung yang didiaminya. Orang Melayu juga disifatkan mudah berpuas hati dengan keadaan mereka yang ada," kata seorang pemimpin kanan komunis Melayu.

Laporan itu turut menggambarkan Chin Peng sebagai seorang yang tidak menyembunyikan pendapatnya kepada pemimpin komunis Melayu ketika itu mengenai penentangannya terhadap status Bumiputera kerana ia menggambarkan penguasaan politik orang Melayu terhadap bukan Melayu.

"Setiausaha Agung PKM itu berhujah golongan pertengahan Melayu adalah 'alat' kepada kerajaan, hasil daripada perancangan British dan kerajaan Malaysia bertujuan meneguhkan pemerintahan mereka menerusi sokongan ramai kaum Melayu.

"Golongan pertengahan Melayu juga dianggap oleh Chin Peng bersekongkol dengan golongan kapitalis dan monopolis untuk mengeksploitasi kekayaan negara," menurut laporan tersebut.

Seorang pemimpin komunis Melayu lain mendedahkan propaganda PKM satu pembohongan nyata kononnya berjuang untuk kesamarataan kaum dan penggunaan semua bahasa sebagai bahasa rasmi.

Katanya,  dalam PKM, bahasa Cina diguna dengan meluas manakala bahasa lain termasuk Inggeris tidak diendahkan seperti dalam surat arahan parti dan dokumen mesyuarat.

"Chin Peng tanpa berselindung menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa mundur dan terhad daripada segi perbendaharaan istilah dibandingkan dengan bahasa Cina.

"Dalam satu mesyuarat PKM pada 1965, dasar kerajaan Malaysia mengutamakan bahasa Melayu disifatkan Chin Peng sebagai diskriminasi dan mendakwa kerajaan memberi layanan rendah terhadap bahasa Cina.

"Slogan PKM yang melaungkan perjuangan untuk membina Republik Rakyat Malaya yang bermakna kesetiaan kepada Malaya hanyalah pembohongan kerana kepimpinan PKM memandang kiblat kepada China sebagai asas kesetiaan dan sumber inspirasi," katanya.

Pemimpin komunis Melayu itu turut mencatatkan perkataan yang disebut oleh ahli jawatankuasa pusat PKM yang menyifatkan lawatan kerap mereka ke China sebagai 'Hui Chu Kuo', bermakna pulang ke tanah ibunda.

Katanya, meskipun kerap disarankan supaya PKM memberi perhatian untuk meraih sokongan orang Melayu, Chin Peng berterusan menolak kerana menganggap sokongan Melayu sebagai tidak relevan.

"Chin Peng percaya apabila PKM berjaya merampas kuasa, orang Melayu akan terdorong untuk menerima komunisme dengan memberi contoh sejurus selepas Jepun menyerah kalah pada 1945 dan sebelum kepulangan Tentera Bersekutu, pasukan MPAJA (Tentera Rakyat Malaya Anti Jepun) berjaya memastikan orang Melayu tunduk, dengan ancaman senjata.

"Pemimpin komunis itu beranggapan Malaya dan Singapura sebagai satu entiti yang sama, dan ini akan menjadikan bilangan penduduk Cina sebagai kumpulan majoriti yang seterusnya menurunkan status orang Melayu kepada minoriti," katanya dipetik daripada Utusan Malaysia hari ini. TMI

Tiada ulasan: