Isnin, 30 September 2013

Dari pelakon crook jadi pengarah filem

Oleh Melati Pusaka
 
 
Yusof Haslam dikenali sebagai pelakon crook dalam filem pertamanya Permintaan Terakhir arahan Jamil Sulong.




Biasanya di India pelakon hero menjadi penerbit dan pengarah filem seperti Raj Kapoor (Sangam, Mera Naam Joker, Bobby, Kal Aaj Aur Kaal, Satyam Shivam Sundaram), Dev Anand (Hare Rama Hare Khrisna, Herra Panna) dan Manoj Kumar (Shor, Roti Kapada Aur Makaan) tetapi di Malaysia tidak semestinya pelakon hero jadi pengarah filem.

Ada juga pelakon crook yang menjadi penerbit dan pengarah filem seperti Datuk Yusof Haslam, 59 tahun. Beliau dikenali sebagai pelakon crook dalam filem pertamanya Permintaan Terakhir arahan Datuk Jamil Sulong. Filem itu menampilkan Sonny Abdullah sebagai hero manakala Uji Rashid sebagai heroin.

Yusof Haslam atau nama sebenarnya Mohd Yusof Md Haslam Khan dilahirkan pada 24 April 1954 berasal dari Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Beliau merupakan anak keempat dari tujuh beradik.

Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur sehingga tamat SPM. Beliau pernah menjadi konduktor tiket bas Sri Jaya sebelum menceburi bidang lakonan.

Yusof mendirikan rumah tangga dengan Datin Fatimah Ismail dan mereka memperolehi empat orang anak Mohd. Faizal, Mohd. Shamsul, Nursyamin dan Mohd Syafiq.

Yusof mula berlakon pada tahun 1973. Filem pertama beliau memegang watak tambahan dalam filem Laksmana Do Re Mi, filem terakhir arahan P. Ramlee di mana beliau menjadi pengawal Menteri Fasola lakonan Hussein Abu Hassan.

Jamil Sulong yang memperkenalkan Yusof dalam filem Permintaan Terakhir. Kali ini beliau diberi peranan pelakon crook. Selepas itu beliau muncul dalam filem Jiwa Remaja yang memperkenalkan Hail Amir sebagai hero.

Hail Amir digandingkan dengan Uji Rashid dalam filem tersebut yang diarahkan oleh Jamil Sulong juga. Hail Amir dan Uji Rashid menjadi kegilaaan anak muda ketika itu yang merupakan penyanyi duet yang popular. Album mereka Antara Matamu dan Mataku menjadi siulan anak muda di zaman itu.

Filem lain lakonan Yusof ialah Bukit Kepong, Penentuan, Ribut Barat, Wira Angkasa, Bayangan Maut, Pemburu Bayang, Sembilu, Sembilu 2, Maria Mariana, Bara, Gemilang, Pasrah dan Gerak Khas The Movie.

Hail Amir selain berlakon menjadi penyanyi tetapi Yusof Haslam yang tidak pandai menyanyi menumpukan sepenuh masa dalam bidang perniagaan kantin dan restoran. Restoran Haslam yang terletak di Jalan Pahang berhampiran Hospital Tawakal yang memberinya modal untuk terlibat dalam bidang penerbitan drama televisyen dan filem.

Roda Roda Kota Raya 

Dari pelakon, beliau menjadi penulis skrip dan penerbit drama tv dan filem. Siri tv Gerak Khas. Roda Roda Kota Raya menjadi trade mark drama Yusof Haslam ditayangkan di RTM.

Yusof pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1984 menerusi filem Mekanik arahan Hafsham. Sebagai menghargai sumbangan beliau dalam bidang seni, beliau dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1993 dan beliau menerima pingat Panglima Jasa Negara (PJN) pada tahun 2001 yang membawa gelaran Datuk.

Sebagai penerbit filem Yusof Haslam dikenali sebagai penerbit jutawan kerana semua filem terbitannya memecah box office. Filem pertama terbitannya ialah Bayangan Maut (1991) mendapat kutipan RM1 juta.

Selepas itu beliau mengarah filem Pemburu Bayang (1993) yang dilakoni Awie dan Ella yang memungut RM1.8 juta. Pada tahun 1994, beliau menerbitkan filem Sembilu lakonan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang mengutip RM4.2 juta. Pada tahun 1995, beliau menerbitkan Sembilu II yang mengutip RM6.3 juta.

Pada 1998, Yusof mengarahkan Maria Mariana II yang mendapat RM3.2 juta. Pada 1999, beliau menerbitkan Bara gandingan Awie dan Nasha Aziz yang pernah digossipkan mempunyai hubungan dengan Yusof Haslam.

Pada tahun 2000, beliau menerbitkan Pasrah. Pada tahun 2001 beliau menerbitkan Gerak Khas The Movie. Sequelnya, Gerak Khas The Movie II yang diterbitkan pada tahun 2002 mengutip RM3 juta. Pada tahun 2003, Yusof Haslam mengarahkan Janji Diana yang menampilkan Rosyam Noor dan Erra Fazira. Filem tersebut berjaya memungut RM2.3 juta.

Pada tahun 2005, beliau menerbitkan Gerak Khas 3 The Movie yang menampilkan Norman Hakim dan Abby Abadi. Pada tahun yang sama, beliau menerbitkan Sembilu 2005 yang memperkenallkan Vince dan Hetty Sarlene.

Kini bakat lakonan dan arahan yang ada pada Yusof Haslam diwarisi anaknya, Mohd. Shamsul yang telah mengarahkan beberapa filem seperti Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Khurafat dan KL Gangster.

Yusof Haslam kini sudah jadi pengarah filem tersohor yang pernah mendapat jolokan Six Million Dollar Man. Pelakon seangkatannya seperti Hail Amir, Uji Rashid, Zulkifli Zain sudah tidak aktif dalam bidang seni tetapi Yusof tetap maju dengan dunia penerbitan filem.

Beliau sudah terbukti dapat menukar imejnya dari seorang pelakon crook kepada penerbit jutawan. Tahniah Yusof!

Tiada ulasan: