Isnin, 5 Ogos 2013

Wakil Rakyat DAP anjurkan moreh, galak muafakat, hapus perkauman

 Roketkini.com

 IPOH: Penganjuran majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam oleh wakil rakyat DAP yang bukan beragama Islam membuktikan parti itu lebih mementingkan keharmonian antara kaum dan agama terus dipupuk.

 Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata, penganjuran majlis berbuka puasa itu adalah kesinambungan kepada aktiviti parti bersama masyarakat sejak 2008 lagi.

 “DAP menganjurkan program buka puasa bersama rakan beragama Islam di Surau Al-Ihsaniyah At-Talamiziyah, Siputeh, Perak di mana saya membuat program moreh, kelmarin, 31 Julai 2013 diikuti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tronoh, Yong Choo Kiong, semalam, 1 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sivakumar, program berbuka puasa anjuran DAP itu bertujuan merapatkan hubungan wakil rakyat dengan penduduk tempatan selain mengeratkan muafakat antara kaum dan agama.

 “Masyarakat kampung rasa mesra dengan pemimpin DAP walaupun ada pihak mendakwa parti itu anti Islam dan Melayu,” ujar beliau. Timbalan Pengerusi DAP Perak itu berkata, polemik sentimen perkauman dan agama negara ini bukan akibat kemajmukan masyarakat sebaliknya disebabkan pendekatan politik yang tidak matang pihak tidak bertanggungjawab.

 “Kumpulan ini sentiasa mencari dan sengaja menimbulkan isu sensitif supaya rakyat berprasangka buruk dan berpecah. Ini akan membolehkan mereka terus berkuasa,” jelas beliau.

 Beliau berpandangan, demi mencapai agenda politik jahat itu, DAP sering dimangsakan sebagai anti Islam dan anti Melayu biarpun DAP mempunyai ramai ahli dan wakil rakyat Melayu dan beragama Islam.

 “Contohnya, sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum ke-13, Utusan Malaysia menerbitkan satu artikel yang tebal semangat perkaumannya yang bertajuk ‘Apa lagi Cina Mahu?’,” kata beliau.

 Bagaimanapun, Sivakumar berkata, hingga kini tidak ada apa-apa tindakan yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap akhbar yang sentiasa menabur fitnah dan menimbulkan perasaan marah antara kaum.

“Adakah kerajaan sendiri terbabit secara langsung dan menaja Utusan Malaysia mengeluarkan rencana berbaur perkauman itu?,” soal beliau.-Roketkini.com

Tiada ulasan: