Khamis, 29 Ogos 2013

Tayangkan Tanda Putera atau lesen dibatalkan, pengusaha pawagam Pulau Pinang diberi amaran


OLEH ELIZABETH ZACHARIAH


















Jika pengusaha pawagam di Pulau Pinang tidak menayangkan filem penuh kontroversi, Tanda Putera esok, mereka mungkin berdepan lesen mereka dibatalkan, gesa pengarah filem itu, Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Beliau menjawab gesaan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menyeru pengusaha pawagam di negeri itu tidak menyayangkan Tanda Putera atas penyebaran maklumat yang tidak tepat berhubung tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

“Sebagaimana yang kita maklum, tayangan akan berlangsung seperti yang ditetapkan dalam Skim Wajib Tayang Finas.

 “Lim Guan Eng tidak wajar memberi arahan kepada pengusaha pawagam untuk tidak menayangkan Tanda Putera kerana saya adalah seorang pembikin filem dan bukannya ahli politik untuk dilepaskan dendam.

“Saranan Lim tidak masuk akal sebagai seorang ketua menteri kerana beliau belum lagi menonton filem itu namun telah menggunakan kuasa tanpa usul periksa. Ini satu perbuatan yang memalukan. Lim seharusnya mencari lawan yang sepadan dengannya, bukan pembikin filem,” katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider.

DAP telah mengkritik filem berkenaan yang kemudiannya disambut oleh MCA menyuaraksn kebimbangan berhubung babak dan dialog dalam filem berkenaan yang boleh mencetus ketegangan kaum.

Penasihat DAP Lim Kit Siang kesal dengan filem Tanda Putera yang masih menayangkan babak beberapa pemuda Cina kencing di tiang bendera laman bekas Menteri Besar Selangor Datuk Idris Harun meskipun filem itu telah dittangguhkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mengelak musim Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggelar tindakan Lim sebagai satu perbuatan bodoh kerana Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri sahaja yang berhak membatalkan tayangan sesebuah filem dan bukannya kerajaan negeri.

Ahmad Shabery berkata beliau mahu penjelasan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang atas usaha mereka untuk menahan penyangan filem Tanda Putera di negeri itu.

Beliau menambah usaha kerajaan negeri yang dikuasai DAP itu hanyalah satu gerakan yang mahu menghancurkan seni filem tempatan.

Katanya, agensi di bawah kementeriannya akan meneliti terlebih dahulu sejauh mana kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bagi menghalang tayangan sesebuah filem di tempat mereka.

Tiada ulasan: