Jumaat, 2 Ogos 2013

S’gor, Johor mahu Hadi kekal Presiden PAS

 
"Hari ini saya tidak nampak orang lain yang boleh menggantikan Hadi," kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.



PETALING JAYA: Di sebalik persoalan mengenai masa depan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar hujung tahun ini, PAS Selangor tampil mempertahankan Presiden PAS itu.

“Kita melihat tidak ada orang lain yang lebih layak daripada Hadi, beliau telah menunjukkan kewibawaannya  sebagai Presiden PAS.

“Hari ini saya tidak nampak orang lain yang boleh menggantikan Hadi, beliau patut dikekalkan,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Adun Meru itu juga menegaskan soal umur dan berapa lama Hadi menjadi Presiden PAS tidak menjadi persoalan kerana yang lebih penting prestasi kepimpinan.

“Masalah lama memimpin tidak penting kerana (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) menjadi Presiden Umno selama 20 tahun,” kata Dr Rani.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu menegaskan Hadi seorang pemimpin yang berlapang dada serta berjiwa besar kerana sedia mengalu-alukan pencabarnya.

“Ustaz Hadi selalu menegaskan beliau sedia menyerahkan jawatan Presiden (PAS) jika ada orang yang lebih layak,” tambah Dr Rani lagi.

PAS akan mengadakan muktamar pemilihan pada hujung tahun ini di Selangor.

Manakala, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Mahfodz Mohamed menegaskan belum masanya untuk tokoh lain mencabar Hadi hujung tahun ini.

Katanya, belum ada lagi yang layak menjadi Presiden PAS selain Hadi.

“Pada pandangan saya, Abdul Hadi tidak perlu dicabar dalam muktamar nanti,” kata Mahfodz.

Tiada ulasan: