Sudah lebih setahun penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di pasaran utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012, dengan tawaran awam awal (IPO) RM2.19 bilion dan berjaya mengumpul RM10.4 bilion.

Jumlah itu menjadikan penyenaraian FGVH sebagai yang terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia selepas Facebook, tahun lalu.

Transformasi daripada organisasi domestik kepada global yang dilakukan bertujuan meningkatkan daya saing dan dilihat dapat menjana pendapatan berganda kepada Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Namun, penyenaraian tersebut mendapat bantahan segelintir peneroka yang mengambil keputusan untuk berarak dan mengadakan protes di hadapan pejabat Felda, serta pelbagai petisyen diserahkan kepada kerajaan bagi membantah penyenaraian itu.

Kini, setahun selepas kekecohan itu, jika berdasarkan graf di Bursa Malaysia, saham FGVH dilihat tidak menentu dan terus menurun sejak penyenaraiannya.

Adakah kebimbangan peneroka Felda yang menentang penyenaraiannya berasas, atau keadaan ini hanya sementara?

Harga minyak sawit rendah

Penurunan harga minyak sawit mentah (CPO) ketika ini adalah antara faktor utama yang dikaitkan dengan prestasi saham FGVH, dan ia dipersetujui oleh penganalisis industri.

Menurut Penganalisis Kanan Penyelidikan CIMB Research, Ivy Ng, walaupun saham Felda dilihat susut, harga saham pada masa ini masih hampir sama dengan harga IPO.

“Harga saham selari dengan harga CPO yang rendah sejak ia disenaraikan. Ini adalah faktor yang menyumbang kepada penurunan saham FGVH. Bagaimanapun, kami yakin saham Felda adalah agak bernilai pada harga ini," katanya semasa dihubungi Sinar Harian.

Menurut Ng, kenaikan semula saham FGVH akan didorong oleh pelbagai faktor seperti harga CPO, penggabungan dan pengambilalihan dan keadaan pasaran saham.

Ng juga yakin, asas FGVH sebagai sebuah syarikat masih kukuh memandangkan kumpulan Felda mempunyai banyak aliran tunai bersih daripada pelaksanaan IPO tahun lalu.

Sementara itu, penganalisis dari Kenanga Research, Lim Seong Chun pula berpendapat, pokok kelapa sawit tua yang dimiliki FGVH mungkin menjadi antara faktor yang menyebabkan harga CPO rendah.

Menurut laporan dikeluarkan Kenanga Research Mei lalu, untuk suku pertama 2013, keuntungan bersih FGVH jatuh 38 peratus kepada RM122 juta disebabkan penurunan harga CPO sebanyak 29 peratus kepada RM2,264 per tan metrik.

Menurutnya, FGVH perlu melakukan usaha yang lebih cepat dari segi penanaman pokok baru untuk mengelakkan harga saham kumpulan itu terus menurun.

FGVH buat pelaburan strategik

Menerusi laporan penyelidikan Alliance Research pula, FGVH mencatatkan suku pertama 2013 yang mengecewakan berikutan harga CPO rendah yang membawa kepada prestasi kurang memberangsangkan untuk aktiviti perdagangan dan operasi baja.

“Walaupun dijangka pendapatan separuh kedua akan lebih kukuh ekoran peningkatan bermusim dalam pengeluaran dan purata harga jualan CPO, kami masih menganggap ianya di bawah jangkaan.

“Ini disebabkan harga CPO yang rendah pada suku pertama 2013 yang telah membawa kepada kekurangan keuntungan dalam aktiviti perdagangan dan kerugian pada operasi kilang,” menurut laporan itu.

Sementara itu, sebagai usaha untuk terus meningkatkan pendapatan pada masa depan, syarikat pengeluar kelapa sawit  ketiga terbesar dunia itu turut membuat pelaburan strategik melalui pengambilalihan pegangan dalam syarikat PT Temila Agro Abadai dan PT Landak Bhakti Palma di Kalimantan Barat, Indonesia.

Bagi membangunkan tanah yang baru diperoleh di sana, FGVH akan melabur RM283.5 juta dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang bagi kawasan seluas 21,037 hektar.

Menurut laporan penyelidikan yang dikeluarkan oleh Alliance Research, pengambilalihan itu adalah langkah yang baik untuk Felda dengan pendapatan dari kedua-dua syarikat itu akan bermula pada 2016.

FGVH juga kini sedang aktif mencari peluang untuk memperoleh lebih banyak tanah di luar Malaysia, dan antara negara yang berada dalam perhatian syarikat itu termasuk Myanmar, Afrika dan Papua New Guinea.