Selasa, 27 Ogos 2013

Rafidah Tidak Pertahan Jawatan MT Umno

GEORGE TOWN: Bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti pada Oktober. Rafidah, anggota MT Umno paling lama berkhidmat iaitu sejak 1975, berkata generasi muda perlu diberi peluang bertanding jawatan MT pada pemilihan Umno tahun ini.

“Saya paling lama berkhidmat sebagai MT sejak Tun Abdul Razak Hussein menjadi Presiden parti sehingga hari ini dan kini tiba masanya bagi saya untuk bersara daripada politik.


“Sejak 35 tahun lalu, saya telah memenangi jawatan itu (MT Umno) dengan bertanding dan bukan dilantik. Saya tahu saya tidak boleh memegang jawatan itu selama-lamanya kerana saya kini berumur 70 tahun dan kita perlu memberi lebih peluang kepada generasi muda untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak Wanita MNC wilayah utara di sini, Isnin.

Rafidah yang menyertai UMNO pada 1970, menang buat kali pertama pada pilihan raya umum 1978 bagi kerusi Parlimen Selayang selepas mengalahkan calon DAP Zainal Rampak dengan majoriti 21,279 undi.

Pada pemilihan Umno 1984, beliau menjadi ketua wanita Umno selepas menewaskan Datin Paduka Zaleha Ismail dengan 71 undi tetapi pada 2008, beliau gagal mempertahankan jawatan itu selepas tewas kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada masa ini, Rafidah merupakan pengerusi bukan eksekutif dan Pengarah bukan eksekutif bebas AirAsia X Bhd.

Beliau berkata politik bukan semata-mata untuk memenangi jawatan dalam parti atau pilihan raya umum tetapi ia mengenai berkhidmat kepada negara.

“Bagi saya, politik ialah untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat bagi memastikan negara mencapai matlamatnya,” katanya.

Pada pilihan raya umum 1982, Rafidah bertanding di Kuala Kangsar, Perak dan akhirnya menjadi anggota Parlimen selama tujuh penggal dengan yang terakhir pada 2008 apabila mengalahkan calon PAS Khairuddin Abd Malik dengan 1,458 undi.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sehingga akhir 2008.Rafidah tidak dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: