SHAH ALAM - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi, yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13)lepas.
  
Hakim Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas mendengar bantahan awal oleh peguam yang mewakili pempetisyen, Haliza Abdullah, dan memerintahkan kos RM20,000 dibayar kepada responden.
  
Responden Datuk Mohd Idris Jusi memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,732 undi.
  
Suraya berkata pempetisyen gagal mengemukakan hujah mengenai satu daripada isu dibangkitkan dalam bantahan awal itu bahawa jamuan dianjurkan Mohd Idris sebelum hari pengundian adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1)(b) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954.
  
Beliau juga memutuskan pempetisyen gagal mengemukakan hujah mengenai tarikh sebenar pengundian awal yang diadakan pada 30 April, tetapi sekadar menyatakan pada 5 Mei.

 "Tarikh pengundian awal tidak dihujahkan seperti ditetapkan di bawah Peraturan 4(1) dan 4(4) akta itu," kata Suraya sambil menegaskan ia merupakan kesilapan besar oleh pempetisyen.
  
Dalam petisyen itu, Mohd Puad hanya menamakan Mohd Idris, yang diwakili peguam Edmund Bon, sebagai responden.
  
Sementara itu, Suraya menangguhkan pendengaran petisyen bagi kawasan Parlimen Labis ke esok, kerana peguam yang mewakili pempetisyen S.Ramakrisnan, Gobind Singh Deo membantah permohonan Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy untuk mengemukakan bantahan awal.
  
Narkunavathy mengemukakan permohonan itu bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pegawai Pilihan Raya kawasan itu.
  
Ramakrishnan dari DAP kalah kepada calon BN Datuk Chua Tee Yong dengan majoriti 353 undi. - Bernama