Selasa, 6 Ogos 2013

Perkasa gesa kerajaan guna undang-undang syariah terhadap pelatih anjing Muslim

Oleh Mohd Farhan Darwis



Perkasa menggesa Putrajaya mendakwa jurulatih anjing, Maznah Mohd Yusof  menggunakan Enakmen di bawah Undang-undang Syariah.

Setiausaha Agung kumpulan pendesak Melayu itu, Syed Hassan Syed Ali menegaskan tindakan Maznah, atau dikenali sebagai Chetz mempertahankan perbuatannya di dalam video kontrobersi "1 Hari di Hari Raya" itu bakal memberikan contoh negatif kepada generasi muda Islam berhubung hukum memegang anjing.

"Perkasa mahukan kerajaan perlu mendakwa mengikut enakmen undang-undang syariah. Maznah masih lagi berpegang bahawa dia tidak melalukan kesalahan berkaitan tindakan membersihkan anjing-anjingnya dan dengan sengaja menyetuh anjing yang basah," tegas Syed Hassan.

 Maznah sebelum ini telah ditahan reman selama dua hari, dan dibebaskan atas jaminan polis kerana merakamkan perbuatannya membersihkan anjing seumpama berwudhuk, dan membawa anjingnya bersiar-siar sambil berlatarbelakangkan lagu Hari Raya.

Pertubuhan bukan kerajaan itu juga berkata mereka juga enggan menerima permohonan maaf, malah tidak akan memaafkan jika Maznah mohon maaf.

"Jakim perlu memperjelaskan isu umat Islam memegang, memeluk dan memandikan anjing.

"Perkasa bimbang jika tidak diperjelaskan akan semakin ramai orang Islam terutamanya golongan muda Islam bersiar-siar dengan anjing kesayangan di taman-taman dan memeluk dan mencium anjing-anjing belaan itu,"kata Syed Hassan kepada The Malaysian Insider.

Chetz juga sebelum ini dilaporkan berkata tidak akan membuat permohonan maaf kerana tindakannya itu bukanlah satu kesalahan.

"Saya tiada niat untuk menghina Islam dan saya tidak akan memohon maaf untuk sesuatu yang saya anggap bukan satu kesalahan," katanya.

“Jikalau saya memohon maaf untuk video itu, ia bermaksud saya bersetuju bahawa saya membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Video itu bukan menghina Islam. Membuat tuduhan bahawa saya ingin menghina Islam ialah seperti memfitnah saya,” kata jurutera berumur 38 tahun itu.

Meskipun mengakui beliau adalah pembikin asal video berusia tiga tahun itu, Chetz bagaimanapun mengatakan video itu dimuat naikkan semula tanpa kebenarannya.

Tajuk video berkenaan juga jelasnya telah diubah oleh orang yang memuat naikkan semula video itu untuk menggambarkan dia menghina Islam.

“Saya telah membuat laporan polis semalam tentang orang-orang yang telah memuat naik video itu semula dan menuduh saya menghina Islam. Hari ini saya akan membuat lagi satu laporan polis mengenai ancaman bunuh yang saya terima,” katanya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun melihat kerajaan dilihat "terlebih bertindak" dalam tindakan mereka berhubung video kontroversi berkenaan apabila menjadikan video itu sebagai isu nasional.

"Sepatutnya dipanggil dan beri nasihat supaya dia (Maznah) jelaskan. Panggil bagi teguran. Jangan jadikan isu nasional," kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Kenyataan Anwar itu dikeluarkan selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meutuskan video berkenaan menghina Islam dan akan mengambil tindakan terhadap Maznah.

Tiada ulasan: