Khamis, 29 Ogos 2013

NGO baru bawa isu masyarakat Parit Buntar

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Cetusan positif semasa berkumpul bersama dan bertukar-tukar fikiran memungkinkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal ditubuhkan di Parit Buntar.

Menurut laman web rasmi PAS Parit Buntar, NGO yang bakal diberi nama Kelab Permuafakatan D’Lima akan dipengerusikan Mohamad Diah, seorang pesara guru.

Kelab Permuafakatan D’Lima akan menjadi sebuah NGO yang bukan hanya menumpukan kepada hal menjaga kebajikan ahli sahaja, malah kebajikan masyarakat awam termasuk golongan anak yatim dan fakir miskin.

NGO ini juga akan membangkitkan masalah dan isu-isu masyarakat di peringkat akar umbi termasuk yang melibatkan golongan pesara, pekerja kilang dan pemandu teksi.

Hasrat menubuhkan NGO berkenaan dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa semasa kunjungan Ahli Parlimen berkenaan ke lokasi berkumpul mereka di belakang D’Lima Parit Buntar.

Semasa kunjungan berkenaan Mujahid menyumbang dua buah meja dan sepuluh buah kerusi kepada NGO yang bakal ditubuhkan itu.

Mujahid semasa ditemui menyokong usaha menubuhkan NGO yang sah dan berdaftar, mempunyai dasar dan peraturan pertubuhan seperti mana ditetapkan dalam perlembagaan dan undang-undang.

“Saya yakin dengan kemampuan NGO yang bakal ditubuhkan ini kerana anggotanya terdiri dari pelbagai golongan termasuk golongan profesional dan pesara kerajaan.

“Sebelum ditubuhkan NGO pun, sudah ada aktiviti kebajikan yang dilakukan termasuk menyalurkan bantuan kepada fakir miskin melalui Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong,” katanya.

Beliau berharap NGO yang bakal ditubuhkan boleh membawa suara rakyat, menjadi mata dan telinga rakyat serta mampu membantu melancarkan pentadbiran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong

Tiada ulasan: