Khamis, 29 Ogos 2013

Dua Pelajar Malaysia Ditahan Di Mesir Pulang Ke Malaysia

 MSTAR ONLINE

KAHERAH: Dua penuntut perubatan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana melanggar waktu perintah berkurung di sini pada 18 Ogos lalu dilepaskan dengan ikat jamin pada Ahad.

Pegawai Perhubungan Keselamatan di Kedutaan Malaysia di sini, ACP Ishak Mohd Jani berkata, pelajar terbabit merupakan pelajar tahun keempat dan tahun pertama jurusan perubatan di dua buah universiti di sini.

"Kedua-dua mereka ini telah dibebaskan dengan ikat jamin EGP2,000 (RM1,000) masing-masing pada Ahad lepas selepas Asar dalam pukul 4.30 petang (waktu tempatan)," katanya ketika ditemui Bernama semasa menyertai lawatan kerja khas delegasi Kementerian Pendidikan Malaysia ke Mesir.

Sementara itu Pegawai Hal Ehwal dan Kebajikan Pelajar negeri Melaka di Mesir, Muhd Anwar Idris ketika dihubungi Bernama berkata, kedua-dua pelajar itu telah berlepas ke Malaysia pukul 2.30 petang (waktu tempatan) Rabu menerusi penerbangan terakhir program evakuasi sukarela kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, pelajar itu masing-masing berasal daripada Melaka dan Sarawak merupakan pelajar cemerlang di universiti masing-masing.

"InsyaAllah mereka akan pulang semula ke Mesir untuk meneruskan pengajian di sini.

"Kita juga dalam proses melantik peguam bagi perbicaraan pelajar ini di mahkamah pada tarikh yang akan ditetapkan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: