Sabtu, 31 Ogos 2013

Bukan soal kerajaan perpaduan tetapi penyelesaian isu rakyat – Anwar


DSAI_hq2

Dialog terbuka antara kerajaan dan pembangkang bukannya menjurus kepada pembentukan kerajaan perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak berbangkit sama sekali isu kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Memetik Keadilan Daily, Ketua Umum PKR itu ketika menjawab soalan pemberita, berkata ia amalan biasa dalam sesebuah negara demokrasi.

“Dalam negara demokrasi asasnya ialah meletakkan rundingan semua pihak termasuk pembabitan pembangkang.

“Jadi apa salahnya diadakan rundingan untuk membincangkan beberapa isu asas.

“Pakatan memperoleh suara majoriti rakyat yang mahu melakukan perubahan. Kita akui gerak kerja mesti diteruskan untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Anwar berkata, dialog itu usaha terbaru bagi membantu rakyat yang memberi undi majoriti kepada Pakatan.

Beliau menggariskan beberapa isu yang menjadi asas perbincangan, antaranya soal kaum dan agama yang dimanipulasi, ekonomi yang kian merudum, peningkatan kadar jenayah dan tata kelola kerajaan yang baik.

“Kita mampu melupakan ketegangan dan keresahan akibat kecurangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan meletakkan kepentingan nasional sebagai keutamaan,” katanya.

Tiada ulasan: