Sabtu, 31 Ogos 2013

Ada pondok belum tentu ada anggota polis

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Sekiranya pihak Polis tidak dapat menempatkan anggota mereka, terdapat penduduk yang sanggup melakukan rondaan secara sukarela, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

“Pejabat saya juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk yang mahu memastikan keselamatan kawasan dan harta benda mereka terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tragedi yang menimpa eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar, yang meninggal dunia dalam insiden samun di Taman Cempaka, Ampang amat menyayatkan hati.

“Sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Chempaka, saya ingin menyampaikan ucapan takziah saya kepada keluarga allahyarham. Saya mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat,” katanya lagi.

Sebagai Ahli Dewan Negeri, beliau merasakan sesuatu yang drastik perlu dilakukan di kawasan tersebut untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali.

Menurutnya, pejabat beliau telah menerima terlalu banyak aduan tentang kejadian jenayah seperti ragut, samun dan pecah rumah di kawasan-kawasan di sekitar Taman Chempaka.

Katanya, pada 22 Julai lepas, lebih kurang 500 meter dari tempat allahyarham disamun, pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang cuba menampal notis pada sebuah gerai haram di Kampung Pandan telah diserang dengan parang oleh 7 orang lelaki.

Hingga ke hari ini, jelasnya tidak ada siapa yang didakwa di mahkamah berhubung kes tersebut tetapi gerai haram yang hendak disampaikan notis itu masih bebas beroperasi.

“Sebagai langkah awal, pejabat saya akan mula membina 5 pondok polis sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013,” katanya lagi.

Dalam tahun 2008, Iskandar pernah bertanya kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika beliau ketika itu merupakan Ketua Polis Negeri Selangor tentang hasratnya untuk membina pondok-pondok polis.

“Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada jaminan pihak polis boleh menempatkan anggota di setiap pondok yang dibina.

“Tetapi suasana hari ini telah menjadi tidak terkawal. Saya tidak akan menunggu jaminan pihak polis. Pembinaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat pada bulan Oktober ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: