Jumaat, 2 Ogos 2013

2 enakmen diguna pakai sekat ajaran Syiah


KL TODAY

KUALA LUMPUR – Pihak yang menyebarkan fahaman Syiah di negara ini boleh didakwa mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai Pelanggaran Fatwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata menerusi Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, individu yang menyebarkan fahaman Syiah boleh didakwa di mahkamah sivil.

“Negara mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fahaman Syiah,” katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) 2013 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail.

Jamil Khir berkata individu yang melanggar fatwa mufti pula boleh didakwa mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai Pelanggaran Fatwa.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menilai dari semasa ke semasa undang-undang sedia ada untuk diperkasakan bagi memastikan sekatan dan tindakan dapat diambil terhadap pihak yang menyebarkan Syiah.

Sementara itu, Ismee berkata keputusan mengenai jumlah jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini akan dibuat selepas Aidilfitri.


Beliau berkata Malaysia akur dengan arahan kerajaan Arab Saudi supaya jumlah jemaah dikurangkan sebanyak 20 peratus berikutan kerja-kerja menaik taraf di Makkah.

Beliau berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan pada 7 Sept manakala tarikh wukuf dijangka pada 14 Okt.

Dalam pada itu, katanya, 47 syarikat menjadi Sahabat Korporat TH dan menjadi penyumbang kepada jemaah haji tahun ini dengan nilai sumbangan berjumlah RM11.2 juta.

Antaranya ialah Yayasan Felda, Telekom Malaysia Berhad, PharmaNiaga Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Mobily, Celcom Axiata, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Uda Holdings Berhad.

Barangan yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat berkenaan merangkumi wang tunai, beg beroda, beg sandang, multivitamin, set penjagaan diri dan sim kad prabayar untuk kegunaan jemaah haji tahun ini.

Tiada ulasan: