Selasa, 2 Julai 2013

Yang rakyat mahukan ialah kerajaan yang mesra rakyat


Oleh Mohammad Agus Yusoff

Jumaat lepas, semasa dalam perjalanan ke KLIA, saya dapati polis sedang menjalankan pemeriksaan perangkap laju lebih kurang 2.5km dari KLIA. Tadi petang semasa pulang dari KLIA, saya lihat polis juga sedang menjalankan pemeriksaan perangkap laju.

Saya tidak marah dengan tugas polis tersebut, tetapi saya memikirkan wajarkah polis melakukan perangkap laju di tempat yang menjadi jendela keluar masuk orang asing ke Malaysia ini?

 Bagi saya, pemeriksaan perangkap laju tidak sesuai dibuat dalam lingkungan 1-3km dari lapangan terbang.

Selepas memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pemandu saya membawa saya ke Kuala Lumpur kerana saya ada temu janji yang perlu dipenuhi. Apabila sampai dekat dengan persimpangan tol Kajang, pemandu saya memperlahankan kenderaannya. Saya bertanya kenapa? Beliau menjawab kerana ada sistem perangkap laju AES di depan.

Saya langsung berkata kepada pemandu, tidakkah pada 18 Disember 2013 sebelum pilihan raya yang lalu, Peguam Negara mengumumkan prosiding saman kepada mereka yang terkena perangkap AES ini dibekukan sehinggalah beberapa aspek teknikal dan perundangan diselesaikan? Jadi, mengapa perlu takut dengan sistem AES ini? Pemandu saya memberitahu sistem AES ini dihidupkan semula dan telah ada kes pertama yang didakwa di mahkamah beberapa hari yang lalu setelah selesai pilihan raya. Timbul pertanyaan di hati saya: bila pula Peguam Negara mengumumkan pembekuan prosiding saman sistem AES ditarik balik? Jika ditarik balik, kenapa tidak diumumkan secara meluas untuk pengetahuan rakyat?

Seperti saya tentang AES ini, saya yakin rakyat juga tidak marah dengan sistem AES ini. Rakyat tahu tujuan merakam kenderaan yang memandu melebihi had laju adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Rakyat tahu pemasangan AES ini akan membuatkan pemandu lebih berhati-hati semasa memandu. Rakyat tahu mereka yang membangkang AES ini adalah yang selalu melakukan kesalahan lalu lintas. Rakyat tahu tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang buat tidak kisah sahaja kepada rakyat yang melakukan kesalahan.

Walaupun tahu, peliknya rakyat masih mempersoalkan penggunaan sistem AES ini? Mengapa? Ini kerana rakyat tidak setuju dengan penswastaan pemasangan sistem yang bernilai RM700 juta ini kepada dua syarikat sahaja, iaitu Beta Tegap dan Ates. Persoalan rakyat ialah mengapa diswastakan? Mengapa tidak dikendalikan oleh Polis atau JPJ?

Saya yakin rakyat tidak mempersoalkan pelaksanaan sistem AES ini jika sistem dikendalikan oleh pihak Polis dan JPJ. Tetapi apabila sistem AES ini dikendalikan oleh syarikat swasta yang dilaporkan akan mendapat RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan, maka rakyat berasa tersinggung kerana merasakan penguatkuasaan sistem ini tidak lagi melibatkan soal keselamatan jalan raya, tetapi lebih kepada keuntungan.

Seperti juga dengan kisah saya tentang perangkap laju yang dibuat oleh polis dekat dengan lapangan terbang KLIA, rakyat juga marah dengan sistem ini kerana kedudukan kamera tersebut diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya seperti di kawasan menurun bukit dan jalan lenggang dengan had laju 80km sejam. Bagi rakyat, bila jalan lengang dan menurun bukit, takkan nak bersantai atas jalan raya sedangkan masa boleh dijimatkan? Bagi rakyat, takkanlah semata-mata hendak dapatkan semula kos sebanyak RM700 juta itu, mereka dibebankan dengan kompaun wajib RM300!

Bagi rakyat, kalau hendak kurangkan kemalangan jalan raya ada cara lain, bukannya dengan cara menggunakan poket mereka. Contohnya, baiki jalan yang rosak, bina lebih banyak jalan, buat lorong motorsikal dll. Jangan hukumi rakyat dengan sistem yang menguntungkan syarikat atau pihak luar. Jangan jadikan AES sebagai satu perniagaan!

Yakinilah, rakyat tidak mahu kerajaan yang mesra kapitalis. Yang rakyat mahukan ialah kerajaan yang mesra rakyat. Semoganya!

Tiada ulasan: