Isnin, 1 Julai 2013

PAS ada peluang baik di Kuala Besut

Khairil Abdul Rahim,



Nasrudin sedang membantu kerja gotong-royong membina rumah salah seorang penduduk Temerloh


 TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan menganggap tidak mustahil PAS boleh memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut memandangkan parti itu pernah memenanginya sebanyak dua kali sebelum ini.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, PAS menang pilihan raya umum (PRU) menewaskan BN di Dun berkenaan pada tahun 1969 dan 1999.
“Majoriti pengundi Kuala Besut adalah pengundi atas pagar dan sebahagian besarnya bekerja sebagai nelayan. Dewan Pemuda optimis PAS boleh melakukan kejutan jika maklumat yang tepat berjaya disampaikan,” ujarnya.


(Yusmi gembira rumahnya dibaiki)

Nasrudin berkata demikian ketika ditemui semasa bergotong-royong membina rumah seorang kampung, Yusmi Sofian,26, di Kampung Gajah Mati, Lanchang dekat sini hasil pungutan derma dari ahli-ahli PAS melalui PAS cawangan.

Yusmi yang tinggal seorang diri di rumah pusaka itu sejak beberapa tahun lalu, berkata beliau hanya mengambil upah bekerja kampung dan tidak mampu membina sendiri rumahnya yang telah rosak teruk.

“Setiap kali menjelang PRU pihak Umno datang berjanji untuk membina rumah baru tetapi tidak pernah ditunaikan. Akhirnya orang PAS yang tolong bina rumah setelah menang Parlimen Temerloh,” katanya.

Nasrudin dalam pada itu, turut mengucapkan tahniah kepada PAS Cawangan Gajah Mati kerana berjaya melaksanakan kerja-kerja kebajikan melalui sumbangan sekitar RM2,000 hasil derma ahli setelah dilancarkan pada Mesyuarat Agung Cawangan minggu lalu.

Tiada ulasan: