Isnin, 1 Julai 2013

Lebih 600 kes denggi dilapor di seluruh negara dalam tempoh Januari ke Jun

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Lebih 600 kes denggi dilapor di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata Kementerian Kseihatan akan mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang dan mengadakan pemeriksaan di kawasan perumahan dengan lebih kerap bagi membendung wabak itu.

"Kebanyakan masyarakat sedar punca denggi tetapi tidak ramai ambil inisiatif untuk hapuskan pembiakan nyamuk aedes, kerana itu kami akan pantau kawasan perumahan dan arahkan penduduk bersihkan kawasan rumah mereka dan jika gagal kami akan ambil tindakan.

"Kami rasa dengan penguatkuasaan undang-undang orang ramai akan pandang lebih serius perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Penang Free School, Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan yang mencatat kes paling tinggi ialah Johor Baharu, Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan akan mengkaji pendekatan undang-undang sesuai untuk mengharamkan penjualan shisha dan rokok alternatif.

Beliau berkata pihak kementerian telah mengkaji kesan sampingan pengambilan bahan berkenaan dan ia disifatkan berbahaya bergantung kepada bahan yang digunakan.

Baru-baru ini Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok. - Bernama

Tiada ulasan: