Selasa, 16 Julai 2013

Kenyataan menteri tidak selesai isu harga ayam

Salmah Mat Husain,


KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek yang mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri tersebut tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) berkata kenyataan ini tidak berbeza dengan kenyataan  kerajaan sebelum ini yang mengajak rakyat mengurangkan pengambilan gula apabila berlaku kenaikan harga bahan itu.

“Begitu juga dengan kenyataan yang memohon rakyat menjimatkan penggunaan eletrik apabila berlaku kenaikan tarif eletrik juga.

“Jika hanya itu yang mampu dilakukan oleh kerajaan, DPPNK menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang naif dan langsung tidak sesuai dikeluarkan oleh sebuah kerajaan yang sepatutnya mempunyai kuasa mempengaruhi harga barangan keperluan,” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan seharusnya mengkaji serta memberikan maklumat yang jelas kepada rakyat faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam pada hari ini yang sudah melampaui menjelang musim perayaan.

Sambungnya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar, rakyat perlu diberikan maklumat sebenar adakah kenaikan harga ayam ini disebabkan oleh kenaikkan kos seperti produk makanan ayam, pekerja, penghantaran, pemasaran dan sebagainya.

Katanya, menggesa rakyat untuk tidak mengelakkan pengambilan ayam sebagai makanan dan sepenuhnya menyalahkan kepada peniaga menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak serius di dalam menangani isu ini.

DPPNK turut mempersoalkan kenapa kerajaan mengambil sikap untuk menetapkan pelaksanaan skim kawalan harga Hari Raya Puasa 2013 pada awal Ogos 2013 nanti iaitu penghujung Ramadhan dan bukannya pada awal Ramadhan.

Sehubungan itu DPPNK menggesa kerajaan untuk sentiasa prihatin terhadap fenomena itu  menjelang musim perayaan.

Katanya, unjuran keperluan perlu sentiasa dilakukan dari masa ke semasa bagi membolehkan kenaikan harga ayam secara mendadak dapat dikekang.

Dalam hal itu pemuda yakin kerajaan sebenarnya tidak bersedia menghadapi fenomena dan menanggap ia sebagai satu situasi yang tidak serius setelah BN berjaya membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihanraya umum ketiga belas yang lepas.

Katanya lagi, kerajaan barangkali lupa bahawa pengundi-pengundi di Kuala Besut masih mempunyai peluang untuk memberikan 'tunjuk ajar' kepada kerajaan agar lebih berhemah di dalam menguruskan keperluan asas.

Tiada ulasan: