Selasa, 16 Julai 2013

Kempen semakin panas, BN dan PAS mula serang menyerang

OLEH ZULKIFLI SULONG
PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut masuk ke fasa kedua.

Kalau sebelum ini, kedua-dua pihak yang bertanding menerangkan tujuan mereka menyertai pilihan raya ini,  mulai semalam kedua-dua pihak melepaskan peluru serangan kepada lawan masing-masing.

Penceramah Barisan Nasional (BN) secara terbuka menyerang tema kempen PAS, 16:16 Kuala Besut cipta sejarah.

 "Ini bukan cipta sejarah, ini mahu mencipta huru-hara. Kita nak huru-hara dan tak stabil ke adik kakok," kata seorang penceramah BN dalam ceramahnya di perkarangan bazar Ramadan pekan baru Kuala Besut.

BN dari awal lagi mengajak pengundi Kuala Besut agar mengundi calonnya bagi menwujudkan kestabilan dalam politik dan pentadbiran negeri Terengganu.

Pengarah pilihan raya BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari awal lagi menegaskan kemenangan BN perlu untuk kestabilan kerajaan dan politik Terengganu.

Hanya dengan kestabilan sahaja kerajaan negeri dapat memberikan tumpuan untuk membantu rakyat, kata Muhyidin ketika memperkenalkan calonnya, Tengku Zaihan Cheku Abd Rahman.

Jika BN kalah dalam pilihan raya kecil ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN akan sama ramai dengan Adun Pakatan Rakyat (PR) dalam DUN Terengganu iaitu 16:16 dalam Dun yang mempunyai 32 anggota itu.

Bagi BN ini akan menghasilkan huru hara dan ketidakstabilan kepada politik dan pentadbiran.

Di pihak PAS pula, mereka mempertahankan slogan untuk mencipta sejarah. Ini kerana, apabila ini berlaku, semua pihak akan memberikan tumpuan untuk menjaga rakyat bagi memastikan rakyat menyokong mereka.

"Kita mahu jaga kepentingan BN ke rakyat. Kalau BN menang bukan rakyat yang untung tetapi kerajaan BN yang stabil. Bila BN stabil, mereka tidak akan menjaga kepentingan rakyat," kata seorang pemimpin PAS Terengganu.

Selain menyerang asas kempen masing-masing, kedua-dua pihak juga mula melepaskan peluru ke pihak lawan. PAS hari ini menyerang secara langsung kegagalan calon BN ketika bertugas sebagai Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Daerah Besut dari tahun 2008 - 2013.

Kegagalan paling besar beliau selaku Jurutera JPS adalah membaik pulih Empangan Lowvier Kampung Nangka yang menyebabkan 1,000 ekar sawah padi kering kontang dan tidak boleh digunakan sejak dua tahun lalu.

Akibatnya 400 keluarga petani atau kira-kira 2,000 penduduk hilang mata pencarian dan tidak boleh menanam padi sejak tiga musim lalu.

"Saya meletakkan kesalahan ini di atas bahu Tengku Zaihan selaku pegawai yang bertanggungjawab," kata Datuk Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat dalam sidang medianya hari ini.

BN pula menjadikan kesilapan calon PAS dalam memberikan kenyataannya kepada media. Beliau didakwa mahu lari dari tanggungjawab apabila mahu melantik wakilnya di Kuala Besut jika menang, sedangkan  beliau mahu menguruskan perniagaannya di Kelantan.

Padahal yang dimaksudkan Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che Long adalah mahu melantik pegawai untuk membantu beliau melaksanakan tugasnya dan semua gaji beliau sebagai wakil rakyat akan digunakan untuk kepentingan rakyat.

Che Long adalah seorang kontraktor kelas A. Beliau banyak mendapat kontrak projek kerajaan negeri dan persekutuan berdasarkan rekod syarikatnya.

Che Long bermula sebagai seorang peniaga stor kayu dan pasir di Kampung Baru, Kuala Besut. Dari situlah perniagaan beliau berkembang kepada seorang kontraktor yang berjaya.

Memang calon PAS tidak berpelajaran tinggi sebagaimana calon BN tetapi faktor beliau sebagai orang yang sangat terkenal di kalangan pengundi Kuala Besut adalah faktor utama kenapa PAS memilih beliau sebagai calon.

Sebut saja, golongan mana sekali pun di Kuala Besut ini semuanya mengenal Che Long. Ini menyebakan PAS menjadikan antara tema kempen untuk Che Long adalah 'Mudoh baso, mudoh jembo'.

'Mudoh baso' adalah orang yang senang dibuat kira bicara dalam kehidupan seharian, manakala 'mudoh jembo' adalah orang yang senang ditemui untuk mendapatkan sebarang bantuan.

Ramai yang beranggapan, jika PAS menang dalam pilihan raya ini, faktor utamanya adalah calonnya iaitu Che Long berbanding dengan calon BN yang hanya sekolah rendah di Besut, manakala sekolah menengah dan universiti di luar Besut.  Beliau juga kini tinggal di Putrajaya dan hanya berharap kepada bapanya seorang bekas guru agama Felda.

Tiada ulasan: