Selasa, 16 Julai 2013

Hanya Kerajaan zalim perlu Akta Hasutan



Oleh : Mohamed Hanipa Maidin 

Setelah Perdana Menteri sebelum ini iaitu pada 11 Julai 2012 menjanjikan kepada rakyat Malaysia akan menghapuskan Akta Hasutan 1948 dan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional kini Zahid Hamidi pula menyatakan akan mengekalkan Akta drakonian tersebut.

Alasan Zahid adalah jika Akta itu dihapuskan maka apa lagi yang tinggal setelah Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) dihapuskan. Zahid menyatakan Akta Hasutan masih diperlukan untuk mengekang fitnah dan penyebaran perkara-perkara sensitif seperti isu perkauman dan agama.

Kenyataan Zahid menunjukkan beberapa perkara. Pertamanya inilah wajah sebenar Barisan Nasional. Tipu rakyat dan berdolak dalik sepanjang masa. BN yang janjikan rakyat akan hapuskan Akta Hasutan sebelum pilihanraya umum kini selepas pilihan raya umum, selepas mereka menang , BN tidak segan silu untuk menarik balik janji tersebut. Jika ini bukan tipu apa lagi ? Isunya sampai bila rakyat terus suka ditipu oleh BN?

Kenyataan Zahid juga menunjukkan BN tidak kisah kezaliman Akta Hasutan 1948 demi untuk terus berkuasa. Akta ini adalah warisan penjajah. Bagi penjajah yang berhadapan dengan tentangan dari pejuang pejuang kemerdekaan khususnya dari golongan kiri atau golongan agama, satu satunya justifikasi mudah bagi penjajah mengekang kemaraan perjuangan menentang British adalah dengan menuduh mereka yang menentang penjajah itu menghasut rakyat untuk membenci British. Memandangkan membuktikan kata kata atau perbuatan menghasut adalah sukar untuk dilakukan maka undang undang di bawah Akta drakonian ini hanya menetapkan kecenderungan menghasut sudah cukup dikira sebagai satu kesalahan.

Betapa teruknya akta ini hatta Ahli Parlimen yang diberikan imuniti dari apa apa pendakwaan semasa mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen bagi memastikan mereka bebas dan berani mengutarakan pendapat masih tidak lepas dari cengkaman Akta ini hatta jika mereka berbahas dalam Parlimen. Namun apa yang Zahid dan BN kisahkan itu semua. Bukankah Akta Hasutan hanya memburu pemimpin Pakatan, NGO dan individu yang kritikal pada BN sahaja ? Beribu kali pun manusia seperti Ibrahim Ali atau sejenis dengannya mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama seperti ingin membakar bible, tangan Akta ini tidak akan sama sekali menyentuh mereka.

Hujah Zahid bahawa tanpa Akta Hasutan maka penyebaran perkara perkara berbaur hasutan seperti isu perkauman dan agama atau raja tidak akan dapat dibendung adalah jenaka agung abad ini. Adakah ada lawak yang lebih hebat dari jenaka Zahid ini ? Jika itu alasan Zahid, kita ingin bertanya mengapakah ketika Akta ini masih wujud kenyataan kenyataan seperti " apa kaum Cina mahu lagi" atau kenyataan untuk hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina dan Tamil atau kenyataan menghina Tuhan orang Hindu oleh Zulkifli Nordin atau kenyataan ingin membakar bible masih boleh dikeluarkan dan tidak disiasat jauh sekali didakwa di bawah Akta ini ? Mengapa pula kenyataan Naib Presiden Pas tentang syuhada' yang dipetik dari hadith boleh pula disiasat di bawah Akta ini?

Zahid perlu jujur. Adakah tanpa Akta ini atau adakah tanpa Utusan dan Umno kenyataan berbaur perkauman akan terus muncul di persada politik negara ini?

Kenyataan Zahid yang mahu kekalkan Akta Hasutan menunjukkan itulah pengertian undang undang bagi sebuah Kerajaan yang zalim seperti BN. Undang undang sepatutnya menjadi alat atau instrumen pengekang kuasa . Malangnya bagi BN undang undang adalah instrumen pemberi kuasa ( power conferring instruments ). Di bawak ketiak undang undanglah BN bergayut dan melihat dengan penuh ceria satu persatu musuh politiknya diusung ke lokap polis , Mahkamah dan mungkin juga ke penjara jika berdepan dengan Hakim yang tidak kisah undang undang zalim dikenakan ke atas rakyat !!

Realitinya tanpa Akta Hasutan negara tidak akan huru hara. Kanun Keseksaan lebih dari mencukupi untuk mengawal tingkah laku rakyat negara ini. Yang diperlukan rakyat bukan undang undang seperti Akta Hasutan.Yang diperlukan rakyat adalah kebebasan dan kematangan semua pihak dalam membincangkan apa sahaja perkara di dalam negara ini . Tanpa kematangan seribu undang undang sekalipun tidak membawa kita ke mana mana.

Atas kepasiti Ahli Parlimen saya telah membawa usul berkenaaan pendakwaan terpilih di bawah Akta Hasutan untuk dibahaskan. Speaker yang dipilih bukan dengan undi rahsia telah menolak usul saya atas alasan tidak perlu disegerakan meskipun isu itu berkepentingan ramai. Saya bertanya speaker mengapa usul berkepentingan ramai tidak perlu disegerakan namun penangkapan dan pendakwaan musuh politik BN bawah Akta ini disegerakan? Tapi itulah nasib usul Pakatan Rakyat di Parlimen Malaysia, tanah airku !!

Tiada ulasan: