Khamis, 11 Julai 2013

Exco Selangor perlu isytihar aset selepas sandang jawatan

THE MALAYSIAN INSIDER

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor perlu mengisytiharkan kepada awam transaksi semua aset mereka selepas menyandang jawatan itu.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, hari ini, beliau berkata maklumat mengenai aset anggota Exco negeri itu akan dikemaskini dari masa ke masa jika terdapat urusniaga baru membabitkan pembelian atau penjualan harta.

Abdul Khalid berkata: "Amalan ini memadai bagi memastikan tiada Exco menyalahgunakan kuasa sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan dalam mana-mana transaksi pembelian atau penjualan harta itu."

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Selangor tidak akan menyekat mana-mana anggota Exco yang mahu menghebahkan kepada awam keseluruhan harta yang diperolehi sebelum dan selepas menjawat jawatan itu walaupun mungkin ia tidak sesuai dilakukan.

Beliau mengulas laporan portal Roketkini.com semalam bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengarahkan tiga anggota Exco negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor daripada parti itu mengisytiharkan harta mereka.

Ini termasuk yang diperolehi sebelum menjadi Exco sebagai memenuhi komitmennya terhadap ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Tiga Ahli Exco DAP terbabit adalah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim; Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah; Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabathirau dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh.

Lim berkata, pengisytiharan harta sebelum dilantik sebagai Exco adalah penting demi menunjukkan bahawa tidak wujud pertembungan kepentingan atau salah guna kuasa apabila keputusan dibuat Ahli Exco atau Ketua Menteri dengan mengambil contoh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata dalam kenyataan yang sama bahawa Kerajaan Selangor tidak menafikan kepentingan pengisytiharan harta bagi mengelak salah guna kuasa cuma ia berbeza pendapat dengan DAP yang menerajui Pulau Pinang tentang keperluan menghebahkan pengisytiharan harta para anggota Exco kepada awam.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada 30 Mei lalu. - Bernama,

Tiada ulasan: