Ahad, 21 Julai 2013

Che Long santuni pengundi awal di kem TUDM

Khairul Azlam Mohamad,





BESUT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N1 Kuala Besut, Endot@ Azlan Yusof atau panggilan mesranya Che Long berada di pusat pengundi awal dari pagi hingga petang.

Kehadiran Che Long seawal jam 8.30 pagi menyantuni anggota tentera dan polis yang terlibat dengan pengundian awal yang diadakan di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Gong Kedak Besut, hari ini.

Che Long ditemani Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad disambut mesra oleh hampir kesemua pegawai dan kakitangan anggota tentera dan polis yang mengundi awal ketika beliau memperkenalkan dirinya.

Kata Che Long, sambutan anggota tentera yang mengundi hari ini cukup baik dan berharap boleh berlaku perubahannya.

“Kita tahu masalah orang dalam kem ini bukan semuanya sokong kerajaan BN, tapi mungkin ada yang ‘takut-takut’. Insya Allah, kita berdoa semoga Allah SWT beri kekuatan kepada mereka (pengundi) untuk berubah.

“Insya Allah…Che Long harap mereka boleh undi Che Long dan beri kemenangan kepada PAS,” ujarnya.

Manakala, Ustaz Wan Azhar berpendapat reaksi muka di kalangan anggota tentera yang mengundi awal itu cukup baik dan ceria.

“Saya fakir berdasarkan reaksi muka mereka (tentera) yang keluar mengundi awal tadi, nampak cukup baik, mesra dan meyakinkan kita. Semoga undi boleh diberikan kepada calon kita, Che Long,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Harakahdaily dimaklumkan, seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada pilihan raya kecil ini.

Pengundian awal tersebut dijalankan menerusi dua saluran yang dibuka oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di TUDM, Gong Kedak, Besut.

Tiada ulasan: