Khamis, 25 Julai 2013

Anak perempuan OCPD disamun di simpang jalan



 
Anak perempuan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin disamun di persimpangan lampu isyarat di Sentul di Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira 10.05 pagi ketika mangsa yang berusia 34 tahun yang juga ahli perniagaan menghentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat tersebut sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal.

"Penjenayah dipercayai menggunakan palam pencucuh atau besi untuk memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian penumpang hadapan, sebelum melarikan beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya kepada Bernama.

Khairi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup penuh berwarna gelap.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan, katanya.- Bernama

Tiada ulasan: