Ismail Sabri
Ismail Sabri
 
BERA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberikan lesen kepada 34 syarikat untuk mengimport ayam dari China, Thailand, Australia dan Kesatuan Eropah (EU) berkuat kuasa serta merta.
  
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah tersebut terpaksa diambil bagi menstabilkan semula harga ayam di pasaran yang kini mencecah RM10 sekilogram.
  
Bagaimanapun, katanya pengimport perlu mematuhi peraturan dan syarat tertentu seperti memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.
  
Beliau berkata syarikat juga dimestikan mengimport ayam dari pusat penyembelihan yang diiktiraf Jakim sahaja.
  
"Nanti akan timbul isu halal dan sebagainya serta sijil kesihatan juga mereka perlu perolehi kerana ini adalah perkara yang wajibkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan zakat Ahli Parlimen Bera kepada 524 peneroka gugusan Felda Tembangau di Felda Tembangau 1, di sini hari ini.

Katanya kementerian tidak mempunyai halangan memberikan kebenaran kepada pihak berkenaan untuk membawa masuk ayam dari negara-negara disenaraikan kerana ingin membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menstabilkan semula harga ayam di pasaran.
  
"Diharap pihak berkenaan dapat membawa masuk 2.2 sehingga 2.4 juta ekor ayam sehari bukan sahaja bagi menstabilkan semula harga ayam di pasaran tetapi dapat memenuhi keperluan umat Islam sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang hari raya Aidilfitri nanti," katanya.
  
Katanya kebenaran itu turut diberikan bagi mengimport ayam bulat dan juga ayam yang dipotong pada bahagian tertentu.
  
Dalam pada itu, Ismail Sabri menafikan pandangan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah kononnya permintaan terhadap ayam pada bulan Ramadan menurun.
  
"Sebenarnya permintaan terhadap ayam memang meningkat daripada 1.4 juta sehari kepada 2.2 juta sehari. Walaupun umat Islam berpuasa tetapi mereka makan ayam dua kali sehari seperti hari-hari biasa iaitu pada sewaktu berbuka puasa dan bersahur.

"Kita ada statistiknya kerana kementerian terlibat secara langsung berkaitan dengan industri ternakan ayam di negara ini," katanya.
  
Beliau juga akan mendapatkan penjelasan dan laporan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengapa harga ayam di Pasar Tani Shah Alam, Selangor masih mahal dan dijual pada harga RM8.40 sekilogram.
  
"Sepatutnya ayam yang dijual di pasar tani ialah RM7.80 setelah diberikan diskaun tetapi peniaga tidak menjual pada harga tersebut kepada pengguna," katanya. - Bernama