Sabtu, 1 Jun 2013

Tarik balik halangan ke atas Nurul Izzah, kata Bung Mokhtar

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Sekatan ke atas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah perlu ditarik balik kerana beliau bukan ancaman kepada negeri, kata pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lantang, Datuk Bung Moktar Radin.

Beliau menggesa kerajaan negeri Sabah memberikan alasan kukuh terhadap langkah yang dianggapnya sebagai “kesilapan” besar dan satu “bencana”.

“Kenapa saya Tweet menyokong Nurul Izzah? Kerana saya lihat tidak ada keperluan untuk halang dia ke Sabah, kerana dia bukan satu ancaman,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu .

“Oleh itu saya meminta kerajaan negeri memberi satu penjelasan yang kukuh.

“Kalau sengaja menahan ia adalah suatu tindakan yang tidak relevan, saya berpendapat pihak-pihak tertentu yang membuat larangan tersebut perlu menarik balik,” tambah ahli Majlis Tertinggi Umno tersebut selepas menghadiri mesyuarat di Bangunan Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Semalam, Bung Mokhtar mengutarakan pandangan sama menggesa penjelasan terhadap langkah tersebut.

“Saya percaya ini adalah kesilapan besar dan perlu diperbetulkan,” kata Bung melalui akaun Twitternya @MyKinabatangan turut menyebut akaun Twitter Nurul Izzah dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semalam.

Semalam, Nurul Izzah telah dihalang daripada masuk ke Sabah sebaik tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri majlis Pesta Kaamatan, atas kapasiti peribadinya.

Hari ini, Musa enggan mengulas tentang penghantaran balik Nurul Izzah daripada negeri Borneo tersebut semalam.

Musa terus ke keretanya secara tergesa-gesa apabila cuba ditemui oleh The Malaysian Insider di PWTC.

Walaupun kerajaan Sabah mempunyai hak undang-undang melarang sesiapapun daripada memasuki negeri tersebut, tiga badan-badan profesional peguam di negara ini yang terdiri daripada Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Majlis Peguam Malaysia — mengingatkan kerajaan negeri untuk “berhenti” daripada menyenarai hitam rakyat Malaysia yang diragui tanpa sebab.

“Dengan melaksanakan langkah drastik ini, kerajaan negeri Sabah melanggar jaminan kebebasan untuk bergerak yang termaktub dalam Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa “setiap warganegara mempunyai hak untuk bergerak bebas di seluruh Persekutuan”, kata mereka dalam satu kenyataan bersama awal hari ini.

Malah, Nurul Izzah hari ini juga berkata akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri BN Sabah atas tindakan mereka di mahkamah.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, turut dihalang masuk ke Sabah pada April lepas.

Tiada ulasan: