Sabtu, 29 Jun 2013

SPR umpama pelawak, letak jawatan sebelum PRK Kuala Besut, kata Anwar

Oleh Mohd Farhan Darwis

Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa meletak jawatan sebelum pilihan raya kecil Parlimen Kuala Besut kerana pengendali pilihan raya itu jelas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal memastikan Pilihan Raya 2013 berjalan dengan bebas dan adil.

Menurut Anwar, anggota SPR sedia ada juga tidak lagi perlu diberi tanggungjawab mengendali pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, lebih-lebih lagi selepas SPR mengesahkan dakwat kekal akan tetap digunakan.

"Tolonglah jangan berperangai umpama pelawak ... mandat diberikan rakyat kepada SPR telah disalahgunakan, jadi apa perlunya kepercayaan (rakyat) lagi?" kata Ketua Umum PKR itu apabila ditemui The Malaysian Insider.

Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, SPR juga tidak lagi perlu mengeluarkan kenyataan seumpama "wira" untuk menambah baik dakwat kekal berkenaan.

"Penambahbaikan boleh dilakukan, namun lebih baik mereka meletak jawatan kerana dilihat seumpama 'mempermainkan mahkamah' daripada melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis kutipan dana untuk Pakatan Rakyat (PR) memfailkan petisyen, di ibu negara lewat malam tadi.

PR juga turut mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang untuk memastikan keseluruhan kepimpinan SPR dipecat.

Majlis kutipan dana itu menyaksikan beberapa pemimpin utama pembangkang seperti ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberikan ucapan mereka, yang rata-ratanya mengkritik SPR dengan gesaan sama agar kesemua anggota badan berkenaan melepaskan jawatan mereka.

Majlis yang dihadiri hampir 500 penyokong tegar PR berpakaian serba hitam itu berjaya mengutip wang sejumlah RM18,447 bagi PR memfailkan petisyen pilihan raya mereka.

PR telah mengesahkan akan memfailkan 26 petisyen di 25 kawasan Parlimen, dengan kos setiap petisyen dianggarkan sekitar RM50,000.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini mengesahkan dakwat kekal akan digunakan dalam PRK Kuala Besut walaupun ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar wakil rakyat PR mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang pengendali pilihan raya itu berhubung isu dakwat kekal yang boleh dicuci.

"Ya ... dakwat kekal akan digunakan," kata Wan Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Beliau bagaimanapun berkata akan membincangkan berhubung penggunaan dakwat kekal yang sama semasa Pilihan Raya 2013 pada 5 Mei lalu atau tidak.

DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Dr A. Rahman Mokhtar, 55, akibat kanser paru-paru.

Ketika Pilihan Raya 2013, A. Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi, dengan BN pada ketika ini menguasai 17 kerusi DUN, berbanding 15 kerusi milik PR.

Kuala Besut dijangka akan menerima perhatian penuh parti politik kerana ia bakal menentukan parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri Terengganu, memandangkan kematian A. Rahman menyebabkan BN hanya mempunyai 16 kerusi, dan sekiranya parti pemerintah itu gagal mempertahankan Kuala Besut, ia menyaksikan DUN Terengganu tergantung.

Isu berhubung penggunaan dakwat kekal tercetus ketika pilihan raya umum ekoran banyak pihak mendakwa dakwat berkenaan mudah hilang selepas dibasuh, bercanggah dengan jaminan SPR bahawa dakwat berkenaan akan kekal sehingga dua minggu bagi mengelakkan pengundi daripada mengundi lebih dari sekali.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika sesi sidang Dewan Rakyat pada Rabu berkata isu dakwat kekal yang tidak kekal itu timbul ekoran dakwat yang digunakan SPR menggunakan pewarna makanan.

SPR bagaimanapun sebelum itu berkata atas alasan kesihatan, kandungan silver nitrat dalam dakwat kekal tersebut dikurangkan bagi mengelakkan pengundi terdedah kepada risiko kanser.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Khamis dilihat mempertahankan SPR apabila berkata Malaysia pada dasarnya tidak memerlukan penggunaan dakwat kekal, sebaliknya cukup menggunakan kad pengenalan untuk mengenal pasti individu tertentu sebagai pengundi.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata penggunaan dakwat kekal itu adalah atas permintaan pembangkang dari PR di Parlimen yang kemudiannya telah dipersetujui.

"Kita tak perlukan dakwat kekal ... untuk apa? Kita bukan negara (dunia) ketiga. Kita ada kad pengenalan yang boleh dikenal pasti.

"Dakwat kekal ini pembangkang yang minta di Parlimen dan kita setuju dan ikut," katanya.

Tiada ulasan: