Khamis, 20 Jun 2013

PR Sedia Anjur Jawatankuasa Bersama BN Perangi Jenayah


Anwar PC

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) menyatakan komitmen mereka memerangi jenayah dengan cadangan penubuhan jawatankuasa bersama Polis DiRaja Malaysia dengan pemimpin BN.
Jawatankuasa tersebut boleh membincangkan isu-isu keselamatan rakyat termasuk kaedah terbaik membendung jenayah.

Komitmen tersebut dilahirkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.

“Saya menawarkan bantuan penuh PR kepada pasukan polis untuk bekerjasama dalam menarik orang ramai untuk merapatkan jurang yang semakin meningkat antara kredibiliti dan persepsi masyarakat tentang keadaan sebenar kadar jenayah di negara ini.

“Saya akan membentangkan kepada kepimpinan PR bahawa jawatankuasa yang terdiri daripada PR dan wakil-wakil BN dibentuk segera untuk bekerjasama dengan Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawainya bagi menangani kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan,” kata Anwar.

Walaupun beliau enggan menunding jari kepada mana-mana pihak berkenaan peningkatan kejadian jenayah, Anwar berkata jelas isu ini merupakan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan pasukan Polis.
Jesteru itu beliau berharap agar tahap keyakinan rakyat terhadap keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka dapat ditingkatkan dengan kerjasama pihak bertanggungjawab.

Sementara itu dalam isu berasingan, beliau turut menuntut agar pasukan polis bertindak profesional dengan memberi kerjasama terhadap penganjuran perhimpunan aman #Blackout505 di Padang Merbok Sabtu ini.

Tiada ulasan: