Isnin, 10 Jun 2013

Postmortem PAS akan umpama Siasatan Di Raja

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menyifatkan Jawatankuasa Postmortem Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) umpama Siasatan Di Raja (RCI).

Beliau yang ditemui sidang akhbar di Ibu Pejabat Agung PAS pagi ini menjelaskan jawatankuasa tersebut akan menyiasat secara menyeluruh tentang perjalanan PRU13 dalam isu penipuan dan juga pertindihan kerusi.

"Kita akan membuat siasatan menyeluruh apa yang berlaku pada PRU13 iaitu dari segi kekalahan, penipuan termasuk juga pertindihan kerusi.

"Jawatankuasa ini umpama RCI yang akan menyiasat secara terperinci, siasatan secara mendalam dan kita akan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang belaku agar ia menjadi pengajaran pada masa akan datang," jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi JK Postmortem yang ditubuhkan PAS.

Menurut beliau lagi, PAS mempunyai masa selama tiga bulan untuk menyiapkan keseluruhan postmortem sebelum perbentangan.

"Bagi memastikan siasatan berjalan lancar mungkin kita akan menubuhkan jawatankuasa kecil agar tumpuan akan boleh dilakukan secara khusus," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang sempat ditemui memberitahu keputusan postmortem akan diketahui pada bulan Oktober nanti

Beliau yang juga menyatakan Jawatankuasa Postmortem PRU13 sudah pun memulakan siasatan dua minggu lepas yang di pengerusikan oleh Salahuddin Ayub bersama 13 ahli jawatankuasa yang telah dipilih.

Tiada ulasan: