Jumaat, 7 Jun 2013

Polis tangkap suami isteri mencuri di surau

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Perbuatan sepasang suami isteri yang menjadikan surau sebagai sasaran untuk mencuri sejak setahun lalu, berakhir semalam apabila mereka diberkas polis di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Adnan Abdullah berkata dengan penangkapan suspek berusia 28 dan 26 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes curi yang dilapor berlaku di surau di kawasan tumpuan awam di sekitar Selangor.

Penangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang pelajar wanita berusia 23 tahun yang kehilangan beg tangannya ketika mahu menunaikan solat di surau sebuah pusat membeli-belah di Bandar Bukit Raja, Klang pada 11 Mei lalu.

"Hasil siasatan polis, membawa kepada penangkapan pasangan suami isteri itu di rumah sewa mereka pada pukul 2.30 petang semalam," katanya pada  sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan polis di rumah suspek yang mempunyai seorang anak angkat perempuan berumur empat tahun menemukan 31 barangan  seperti telefon bimbit, beg tangan dan kad "Touch 'n Go".

Adnan berkata pemeriksaan selanjutnya mendapati sebahagian barangan curi telah dibakar di dua kawasan berhampiran rumah mereka seperti kad kredit manakala sebahagiannya lagi telah dijual.

"Siasatan selanjutnya mendapati suspek wanita berperanan melakukan kegiatan curi di dalam surau di kawasan seperti stesen bas dan teksi serta pusat membeli - belah manakala suaminya bertindak menjual barangan curi berkenaan di kedai.

"Setiap kali ingin menjalankan kegiatan mencuri, wanita terbabit akan memaparkan dirinya seperti wanita baik dengan bertudung menyebabkan orang lain tidak mengesyaki apa-apa dan ketika melakukan kegiatan itu suaminya akan menunggu di luar surau sambil menjaga anak angkat mereka," katanya.

Adnan berkata pasangan suami isteri itu yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau direman selama empat hari sehingga 9 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa curi di surau di sekitar Selangor supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zulkifli Mohd di talian 013-3546379.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya sedang mengesan seorang pemandu lori warganegara Pakistan, Waqas Ul Hussan @ Vicky, berusia 30-an yang beralamat terakhir di Desa Lembah Permai, Ampang dekat sini, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki rakyat Amerika di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 4 Mei lepas.  

"Sehingga kini pihak kami telah menahan tujuh lelaki warga Pakistan berumur antara 24 dan 58 tahun, antara 28 dan 29 Mei lepas di sekitar Dang Wangi, Kuala Lumpur, Ampang dan Seri Kembangan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai seorang lagi lelaki yang dicari ini sila hubungi ASP A. Wiswannadan di talian 012-3198918 atau 03-42897222 sambungan 7312," katanya.

Dalam kejadian itu, mayat David James Ginter, 62, ditemui di tingkat atas rumahnya oleh jiran mangsa dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat ke belakang serta lehernya dijerut dengan  pengecas telefon bimbit. - Bernama

Tiada ulasan: